KUALA LUMPUR: Seramai 675 pegawai perubatan meletak jawatan pada 2024 melibatkan 386 pegawai lantikan tetap dan 289 pegawai lantikan kontrak berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu bersamaan kadar peletakan jawatan sebanyak 1.5 peratus berbanding keseluruhan 43,709 pengisian pegawai perubatan pada 2024.
Katanya, walaupun berdepan cabaran pengekalan dan penghijrahan pegawai perubatan, KKM komited memperkukuh sistem penjagaan kesihatan menerusi usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan mobiliti tenaga kerja.
“Pada 2024, KKM melantik seramai 7,373 pegawai perubatan terdiri daripada 4,057 lantikan tetap dan 3,316 lantikan kontrak. Selaras pengumuman Perdana Menteri pada 23 Julai lalu, KKM akan melaksanakan pengisian 4,352 jawatan pegawai perubatan pada 2025.
“Sehingga kini, sebanyak 92 peratus atau 4,006 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap daripada sasaran keseluruhan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai jumlah doktor yang berhenti daripada perkhidmatan di bawah KKM sepanjang 2024 hingga 2025 serta langkah penyelesaian yang diambil kerajaan.
Dzulkefly berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan pegawai perubatan terus berkhidmat, antaranya pemberian emolumen kompetitif sebanyak RM5,380 kepada Pegawai Perubatan Siswazah Gred UD9 dengan kenaikan gaji tahunan RM225.
Selain itu, katanya, pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut dilaksanakan dengan kenaikan sebanyak lapan peratus bermula 1 Disember 2024 dan tujuh peratus lagi pada 1 Januari 2026 bagi pegawai lantikan tetap.
“Elaun dan insentif khusus turut diberikan seperti Elaun Lokum, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Pembedahan Elektif serta Bayaran Insentif Pra-warta (BIPPW) yang setara dengan Bayaran Insentif Pakar (BIP) kepada pegawai perubatan menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE).
“Langkah lain termasuk pengurangan waktu bekerja syif daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu bagi pegawai di Jabatan Kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengekang penghijrahan doktor memerlukan kerjasama rentas agensi serta komitmen bersama bagi merangka penyelesaian jangka panjang.
“KKM akan terus menambah baik insentif dan manfaat supaya pegawai perubatan kekal berkhidmat, sekali gus memastikan sistem kesihatan awam negara kekal berkualiti, berdaya tahan dan menyeluruh untuk semua rakyat tanpa mengabaikan kesejahteraan petugas kesihatan,” katanya. – UTUSAN










