JERANTUT: Peralihan monsun kepada cuaca panas di negara ini bermula April lalu menyebabkan ramai pelancong ‘Mat Saleh’ lebih selesa mengalih tumpuan ke Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling di Ulu Tembeling di sini, untuk bercuti.
Tinjauan dalam kalangan pengusaha rumah inap dan pemandu alam sekitar mendapati, dianggarkan kira-kira 1,000 pelancong luar singgah di Kuala Tahan dalam tempoh seminggu, malah ada peningkatan kehadiran pelawat ke Kampung Melayu Kuala Sat berekreasi serta beriadah di kawasan hutan tropika, gua, Sungai Tembeling dan Sungai Sat terletak di perkampungan Melayu.
Pengerusi Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kassim berkata, lazimnya April hingga September adalah waktu yang sesuai bagi pelancong luar khususnya dari Eropah dan Asia mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan.
“Berbanding tahun lalu yang kerap hujan, nampaknya tahun ini ada peningkatan lebih daripada 500 orang pelancong luar termasuk pelawat domestik setiap minggu singgah di sini.
“Keadaan cuaca yang baik antara kelebihan bagi pelancong luar dan pelawat domestik singgah di Kuala Tahan dan Kampung Kuala Sat antara perkampungan Melayu mula menjadi tarikan pengunjung selepas bebasnya pandemik Covid-19 tiga tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Roslan berharap cuaca yang panas berlanjutan sehingga Oktober ini dapat memberi impak bagi destinasi seperti Taman Negara dan perkampungan Melayu di Ulu Tembeling terus rancak secara langsung memberikan pulangan pendapatan kepada pengusaha pusat inap, bot penambang, pemandu alam sekitar serta pengusaha makanan.
Pengusaha ekopelancongan Kuala Sat, Alias Hashim pula berkata, dalam tempoh tiga bulan ini, lebih 2,000 pelancong dari Eropah dan pelawat domestik memilih untuk singgah dan melawat di sekitar perkampungan Melayu, Orang Asli etnik Bateq dan berkelah di anak Sungai Sat.
“Sejak bulan lalu sehingga ini, hampir 1,000 ‘Mat Saleh’ yang datang secara backpackers dan keluarga masing-masing singgah di kampung ini antara dua hingga tiga hari bermalam di pusat inap desa milik penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN










