Belanjawan 2027: Peruntukan lebih RM130 juta suntik industri kreatif - Utusan Malaysia

Belanjawan 2027: Peruntukan lebih RM130 juta suntik industri kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pertumbuhan sektor perfileman, muzik dan pembangunan kandungan tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengangkat citra negara di mata dunia selain merangsang ekonomi melalui penghasilan kandungan kreatif yang berkualiti tinggi.

“Kerajaan memperuntukan lebih RM130 juta ringgit bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi yang memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain menggalakkan pelaburan daripada produksi luar, Jelas Anwar, kerajaan akan menyediakan insentif tambahan khusus bagi naskhah kreatif yang berjaya menampilkan elemen budaya tempatan dan semangat kenegaraan dalam karya mereka.

“Insentif tambahan akan diberikan bagi karya yang memaparkan keunikan budaya kita dan nilai kenegaraan,” katanya.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga akan mengecualikan duti hiburan sepenuhnya bagi tiket filem dan persembahan teater di wilayah persekutuan bermula tahun hadapan.

“Bermula 2027, tiket filem dan persembahan teater tempatan di wilayah persekutuan akan dikecualikan sepenuhnya daripada duti hiburan.

“Kita menyeru kerajaan negeri agar mengambil langkah serupa bagi menyokong pengkarya tempatan,” katanya.

Sektor perfileman dan animasi yang sebelum ini menjadi antara penyumbang utama ekonomi digital negara dijangka bakal menerima impak positif apabila kerajaan berjanji akan melahirkan 20 harta intelek baru untuk mengkomersialkan watak Malaysia di pentas dunia.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukan RM140 juta menerusi Belanjawan 2026 merangkumi RM110 juta insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa.

Manakala RM10 juta khusus diberikan kepada penerbitan kandungan kenegaraan. Insentif RM10 juta diberikan bagi penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bagi menarik pelancong asing bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tahun lalu, kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk menyokong ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini