Pakatan rapuh di Sabah?

Pakatan rapuh di Sabah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat membentuk gabungan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka Oktober ini dilihat semakin sukar apabila rundingan pembahagian kerusi masih menemui jalan buntu.

Walaupun gabungan ini diyakini mampu mengelakkan perpecahan undi dan menjamin kemenangan majoriti, namun tuntutan GRS untuk bertan­ding di sekurang-kurangnya 70 daripada 73 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) telah mencetuskan kebimbangan, terutama di kawasan tradisi BN.

Sekiranya GRS berkeras de­ngan tuntutan itu, peluang pembentukan pakatan besar ini mungkin terkubur, namun jika GRS bersedia mengendurkan tuntutan dan berunding semula, laluan ke arah pembentu­kan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri boleh direalisasikan.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, walaupun PH tidak terlalu terkesan kerana kekuatannya di kawasan bandar dan majoriti pengundi Cina, pertindihan pengaruh antara BN dan GRS di kawasan luar bandar menjadi isu utama.

Sikap GRS yang dilihat sebagai ‘abang besar’ di Sabah akan menjadi cabaran besar dalam rundingan ini.

“Masalah utama ialah antara BN dan GRS kerana kedua-duanya bersaing di kawasan luar bandar. Jika berlaku pertembungan, ia boleh menjejaskan peluang BN dan menjadi liabiliti politik kepada mereka.

“Awal-awal lagi GRS menyatakan mahu bertanding di 70 kerusi. Kalau begitu, berapa kerusi tinggal untuk BN dan PH? Mustahil BN dan PH akan bersetuju,” katanya.

Walaupun GRS kini sebahagian daripada Kerajaan Perpa­duan di peringkat Persekutuan, kestabilan di peringkat negeri kekal rapuh selagi isu agihan kerusi tidak diselesaikan de­ngan kadar segera.

Sebelum ini, Presiden GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan PH sekali gus menamatkan spekulasi mengenai strategi pilihan raya yang akan diambil gabungan itu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun turut berkata, kerjasama GRS dan PH membantu menstabilkan landskap politik Sabah dan membolehkan kerajaan ne­geri memberi tumpuan kepada keutamaan pembangunan termasuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas.

Dalam perkembangan lain, rundingan pembahagian kerusi UMNO bersama PH bagi PRN Sabah akan datang telah dimuktamadkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbincangan mengenai kerjasama dengan gabungan parti politik lain masih berjalan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, keengganan BN Sabah untuk bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah akan datang adalah kerana tidak mahu menanggung ‘liabiliti’ meskipun PH memutuskan untuk be­kerjasama dengan parti ber­kenaan.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dilaporkan berkata, langkah itu akan menyebabkan BN Sabah turut terpalit dengan pelbagai isu yang membelenggu GRS ketika ini.

Katanya, sebarang bentuk kerjasama antara di antara kedua-dua parti itu tetap tidak memberi keuntungan kepada BN Sabah meskipun GRS pada ketika ini berada di tampuk kepemimpinan kerajaan ne­geri.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi, dengan UMNO kini memegang 11 kerusi manakala PH tujuh kerusi.

Pada 28 Julai lalu, Setia­usaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh mengesahkan run­dingan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Sabah telah selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×