Padi Menora mampu tingkatkan daya tahan padi negara

Padi Menora mampu tingkatkan daya tahan padi negara

MOHAMAD Sabu (kanan) meneliti varieti padi baharu MR 333 yang diberi nama Menora pada majlis pengisytiharan varieti padi itu di Lahar Minyak, Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini mengisytiharkan varieti padi baharu MR 333, Menora yang diyakini mampu meningkatkan produktiviti dan daya tahan tanaman padi negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, varieti tersebut adalah hasil penyelidikan intensif MARDI yang turut disokong melalui peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan padi dan beras.

“Kajian MARDI mendapati, ketahanan MR 333 terhadap penyakit karah membantu mengurangkan keperluan penggunaan racun kimia yang bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga memberi manfaat kepada alam sekitar.

“Selain berpotensi memberikan hasil tinggi serta mempunyai ketahanan terhadap penyakit, kita yakin menerusi pematuhan SOP penanaman yang baik, ia akan memberikan pulangan yang menguntungkan kepada pesawah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan varieti padi baharu di Kampung Lahar Minyak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, varieti padi baharu itu dibangunkan khas untuk kawasan jelapang dan telah mencatatkan potensi hasil tertinggi sehingga 9.96 tan sehektar.

“Varieti MR 333 ini dinamakan Menora bersempena nama budaya tradisi dan warisan negeri di utara Malaysia. Varieti ini juga sesuai sebagai alternatif kepada varieti popular lain seperti MR 297, MR 315, MR 303 dan MR 307.

“Ia dijangka mendapat sambutan dalam kalangan pesawah kerana tempoh matang yang singkat, ketahanan rebah dan berat 1,000 biji yang lebih tinggi kira-kira 30.9 gram sekali gus menjadi faktor penting dalam meningkatkan produktiviti ladang,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN