KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan prosiding berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada hari ini dan semalam.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding itu bagi meneliti keberkesanan pengurusan subsidi serta mekanisme kawalan harga minyak yang memberi impak langsung kepada rakyat dan perbelanjaan kerajaan.
“Antara saksi yang dipanggil ialah Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar, wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Muhyidin Aziz @ Saari dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin.
“PAC juga akan meneliti rantaian bekalan minyak masak dengan memanggil Persatuan Pengeluar Minyak Makan Malaya (MEOMA) dan wakil dari kilang penapis dan syarikat pembungkus selain mengadakan lawatan kerja ke kilang-kilang tersebut,” katanya semasa sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa PAC mendengar taklimat khusus berhubung perolehan kerajaan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican, 4 Ogos lalu.
Taklimat tersebut, katanya, memberikan penjelasan menyeluruh kepada PAC mengenai kaedah perolehan kerajaan, proses perolehan, peranan Pihak Berkuasa Melulus (PBM) dan pelaksanaan tender terbuka prakelayakan terpilih.
“Taklimat itu bertujuan membantu ahli PAC memahami dengan lebih jelas struktur dan amalan perolehan kerajaan yang melibatkan pelbagai agensi dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab jawatankuasa itu,” katanya. – UTUSAN










