SEPANG: Hampir 66,000 jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah umrah bersama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bagi musim 1447H (2025-2026), sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan syarikat.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan syarikat berkenaan.
Menurut beliau, bagi musim umrah baharu yang bermula pada Muharam ini, sambutan juga amat menggalakkan apabila seramai 29,000 jemaah telah membuat pendaftaran setakat ini.
“Alhamdulillah, bagi sasaran tahun lepas kami berjaya mencapai hampir 66,000 orang jemaah.
“Bagi tahun ini pula, kami sudah melihat kerancakan orang ramai untuk menunaikan umrah apabila setakat ini seramai 29,000 jemaah telah berdaftar walaupun musim baharu sebenarnya baru sahaja bermula,” katanya selepas majlis pelepasan jemaah umrah ke Tanah Suci di sini, malam tadi.

Katanya, peningkatan jumlah pendaftaran itu didorong oleh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menunaikan ibadah umrah selain kepelbagaian pakej yang ditawarkan mengikut kemampuan bakal jemaah.
Beliau berkata, trend menunaikan umrah kini turut berubah apabila semakin ramai golongan muda, usahawan dan keluarga memilih ibadah itu sebagai pengisian rohani, berbanding hanya menjadi pilihan warga emas seperti sebelum ini.
“Umrah bukan lagi hanya untuk warga emas, tetapi turut menjadi pilihan usahawan, golongan muda dan keluarga sebagai satu bentuk perjalanan yang menggabungkan ibadah, muhasabah diri serta mengeratkan silaturahim.
“Di Andalusia, kami sentiasa berusaha memastikan setiap jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah, manakala segala urusan perjalanan diuruskan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menjadi tetamu Allah dengan memilih pakej umrah yang bersesuaian mengikut kemampuan masing-masing.
Terdahulu, seramai 91 jemaah berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia, termasuk seramai 47 orang terdiri daripada pekerja serta ahli keluarga usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid. – UTUSAN










