KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengingatkan kerajaan supaya memastikan ketelusan dan penelitian menyeluruh dalam rancangan perolehan tren elektrik secara pajakan bernilai RM10.7 bilion dari China.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding PAC mendapati projek perolehan 62 set tren elektrik jenis Electric Multiple Unit (EMU) itu masih di peringkat awal dan belum menghasilkan sebarang kontrak muktamad.
Katanya, kerajaan perlu berhati-hati supaya sebarang keputusan tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh.
“PAC mahu kerajaan memastikan rundingan dilakukan secara telus serta mengambil kira kepentingan kewangan jangka panjang negara.
“PAC juga akan terus memantau perkembangan projek ini bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Kata Mas Ermieyati, jawatankuasa itu telah menggunakan kuasanya untuk menyiasat isu berkenaan dan memanggil tiga saksi utama iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB.
Tambah Mas Ermieyati, pemilihan model pajakan berbanding pembelian terus dibuat mengambil kira kekangan kewangan semasa kerajaan serta keperluan mendesak menambah tren baharu.
Katanya, pemilihan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) pula berasaskan faktor kepakaran teknikal dan pengalaman sedia ada, termasuk kemudahan kilang pemasangan tren di Batu Gajah, Perak.
“PAC mahu memastikan justifikasi ini benar-benar munasabah dan tidak membebankan kerajaan dalam jangka panjang.
“Kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat serta memastikan nilai untuk wang dalam setiap perolehan,” katanya. – UTUSAN










