Orang awam bantu wanita bersalin tepi jalan

Orang awam bantu wanita bersalin tepi jalan

SEKUMPULAN orang awam membantu seorang wanita berusia 30-an bersalin dengan selamat di tepi jalan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekumpulan orang awam yang tidak mempunyai latar belakang formal kesihatan berjaya membantu seorang wanita mengandung melahirkan bayinya dengan selamat di tepi jalan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini, semalam.

Tukang jahit, M. Bhavani Thevi, 34, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan suami dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Bukit Dahlia menuju ke rumah bapa mentua di Taman Mawar.

Katanya, suaminya terlihat seorang wanita sarat mengandung turun motosikal sebelum duduk di tepi jalan berhampiran persimpangan.

“Kami hampiri wanita berusia 30-an itu dan dia maklumkan sedang mengalami sakit kontraksi. Kami hubungi talian kecemasan sebelum wanita itu maklumkan terasa seperti hendak bersalin pada ketika itu.

“Saya kemudian diberikan panduan melalui panggilan telefon oleh seorang lelaki dipercayai daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi panduan sementara menunggu ambulans tiba.

“Lelaki itu minta agar saya bertenang dan tidak panik, selain turut bantu tenangkan wanita terbabit agar proses bersalin berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Bhavani Thevi, tidak lama kemudian beberapa wanita lain turut hadir membantu setelah melihat situasi yang berlaku.

“Suami saya serta seorang lelaki lain turut menahan beberapa pengguna jalan raya untuk mendapatkan barangan bersesuaian seperti kain dan payung bagi memastikan aurat wanita itu terjaga.

“Ketika wanita itu sedang berbaring atas jalan, saya tadah tangan untuk sambut kelahiran bayi lelaki tersebut. Saya bersyukur kerana ibu dan bayi itu dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, kejadian itu merupakan pengalaman yang mengejutkan tetapi amat manis dan akan dikenang sepanjang hayatnya.

“Saya pasti tidak akan melupakan kejadian yang berlaku serta semua pihak yang terlibat kerana amat berharga. Kami juga sudah wujudkan kumpulan WhatsApp bagi berkongsi pengalaman masing-masing dan membina persahabatan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN