Operator kurang cekap kendali dron jejas hasil pertanian

Operator kurang cekap kendali dron jejas hasil pertanian

AZMAN Ismail (dua kiri) dan Mohamad Zabawi Abdul Ghani mendengar penerangan daripada pempamer tentang teknologi dron pertanian selepas Majlis Perasmian Jelajah Dron Pertanian 2025 di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penggunaan teknologi dron dalam bidang pertanian sepatutnya meningkatkan produktiviti sawah padi, namun ia didakwa menjadi punca hasil berkurang apabila dikendalikan oleh operator yang kurang berkemahiran.

Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Azman Ismail berkata, beliau sendiri menerima aduan daripada pesawah yang memaklumkan hasil padi mereka merosot selepas menggunakan teknologi dron berbanding kaedah tradisional.

Menurutnya, masalah itu bukan berpunca daripada penggunaan dron, sebaliknya cara mengendalikan peralatan tersebut termasuk aspek bancuhan, semburan, kelajuan serta ketinggian dron ketika melakukan kerja-kerja meracun atau membaja.

“Jika dron digunakan dengan kaedah betul, formula yang tepat dan penggunaannya optimum, ia boleh membantu meningkatkan hasil.

“Tetapi jika dron digunakan tanpa mengambil kira semua faktor, ia boleh beri kesan negatif. Misalnya, dulu semburan dibuat secara manual dengan bancuhan 10 liter, tapi bila guna dron hanya 6 liter digunakan. Formula sudah lari, maka hasil pun terjejas,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Jelajah Dron Pertanian 2025  di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Tambah Azman, peningkatan penggunaan dron juga memerlukan lebih ramai operator bertauliah bagi memenuhi permintaan pesawah, terutama di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang kini mencatat penggunaan sekitar 50 peratus daripada lebih 100,000 hektar sawah.

Menurutnya, ada operator yang menerima terlalu banyak tempahan sehingga terpaksa mengubah waktu kerja, contohnya meracun sepatutnya dilakukan jam 7 pagi tetapi ditunda ke jam 7 petang kerana kesibukan.

MARDI kini diberi tanggungjawab oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melatih dan menyediakan pensijilan baharu, iaitu Remote Certificate of Competency Agriculture Light (RCOC-AL).

“Pensijilan ini penting untuk memastikan operator memahami aspek keselamatan, peraturan dan etika penggunaan dron, sekali gus memberi pengiktirafan sah kepada mereka dalam bidang pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN