Op Sohor: Pegawai ATM ditahan jadi tokan dadah - SPRM - Utusan Malaysia

Op Sohor: Pegawai ATM ditahan jadi tokan dadah – SPRM

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan dalam Op Sohor, turut terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia susulan penemuan dadah ketika operasi tangkapan 10 individu semalam. 

Katanya, operasi yang dilaksanakan di Lembah Klang itu turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah  Narkotik (JSJN) Bukit Aman. 

“Kita ada maklumat selain rasuah, salah guna kuasa..mereka ini juga terlibat dalam kes penyeludupan dadah.

“Hasil maklumat itu, kita (SPRM) membawa bersama-sama JSJN, Bukit Aman dalam serbuan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan  Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya Sprm (RTD) Tahun 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

Hussien ketika ditemui memaklumkan, empat daripada 10 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan dipercayai dalang atau tokan dalam sindiket dadah.

Beliau berkata, keempat-empat mereka adalah seorang pegawai ATM selain tiga orang awam iaitu seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing.

“Hasil penahanan itu, kita menemukan 70 peket serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1.1 Kilogram (kg); kanabis (92 gram); ketamin (22 gram); cecair MDMA (64 gram) dan ekstasi (0.6 gram). Nilai keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak RM30,000,” jelasnya.

Hussien berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat dengan mereka.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN