SEREMBAN: Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMA) hari ini menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) meluluskan dua resolusi yang menyokong pelan transformasi Fasa 2 syarikat pelaburannya, NSCMH Holdings Sdn Bhd.
Resolusi pertama yang diluluskan melibatkan cadangan pecahan 2.5 juta saham biasa sedia ada bernilai RM1 setiap satu kepada 40 juta saham biasa bernilai RM0.0625 setiap satu.
Perubahan ini tidak mengubah jumlah modal berbayar yang kekal sebanyak RM2.5 juta, namun dijangka dapat meningkatkan fleksibiliti pegangan saham dan kapasiti pembiayaan syarikat.
Resolusi kedua pula melibatkan penerbitan 18 juta saham baharu pada harga RM2.50 sesaham kepada pelabur terpilih selepas proses pecahan saham selesai. Penempatan persendirian tersebut dijangka mengumpul dana sebanyak RM45 juta.
Presiden NSCMA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, penempatan itu melibatkan penyertaan ahli seumur hidup NSCMA, pekerja, ahli kumpulan syarikat serta doktor dari Hospital Pakar CMH dan Penjagaan Dialisis CMH.
“Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai sebahagian kos pembinaan blok perubatan baharu, manakala baki pembiayaan akan diperoleh melalui pinjaman bank,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, dengan kelulusan kedua-dua resolusi itu, modal saham terbitan NSCMH Holdings akan meningkat daripada 2.5 juta saham kepada 58 juta saham, dengan nilai keseluruhan RM47.5 juta.
“NSCMA juga akan mengekalkan 69 peratus kepentingan kawalan dalam syarikat berkenaan,”katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu sesi taklimat khas akan diadakan pada 16 Ogos ini untuk ahli seumur hidup, pekerja dan doktor gabungan, bagi menerangkan butiran lanjut mengenai penempatan persendirian tersebut.
“Untuk membawa Hospital Pakar CMH ke tahap yang lebih tinggi, kami mesti menyatukan kekuatan pengurusan, pasukan penjagaan kesihatan, ahli, kakitangan dan komuniti yang lebih luas secara bersama-sama,” katanya. – UTUSAN










