KUALA LUMPUR: Kadar kompaun maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digaji secara haram dilihat terlalu rendah, tidak relevan dan memerlukan kajian semula.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mengakui, terdapat majikan yang tidak serik menggaji golongan itu, walaupun tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan.
“Kompaun maksimum terhadap majikan adalah RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah.
“Jika kadar itu masih tidak berkesan, kita akan mengkajinya dan kemungkinan mencadangkan kepada kerajaan supaya jumlah kompaun dinaikkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Mega di sekitar Jalan Kenanga di sini, hari ini.
Zakaria berkata, terdapat majikan yang dikenakan kompaun sehingga ratusan ribu ringgit kerana menggaji ramai pekerja asing tanpa mematuhi undang-undang.
“Kita percaya tindakan kompaun yang tinggi terhadap setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah boleh memberikan kesedaran kepada majikan.
“Namun, masih ada yang memilih mengambil pekerja asing secara tidak sah kerana mahu mengelakkan kos pengambilan secara sah,” katanya.
Beliau berkata, pengambilan pekerja asing melalui saluran sah membabitkan pelbagai kos termasuk fi pemprosesan dan pengangkutan.
Katanya, sesetengah majikan memilih pekerja asing tanpa dokumen kerana berpandangan hanya perlu membayar gaji yang lazimnya lebih rendah berbanding pekerja diambil melalui saluran sah.
“Mereka mungkin tidak perlu membayar fi pemprosesan, kos pengangkutan dan pelbagai kos lain.
“Sebab itu ada yang lebih suka menggaji pekerja asing secara tidak sah dan hanya membayar gaji,” ujarnya.
Katanya, majikan boleh menghantar pulang pekerja terlibat secara sukarela menerusi Program Repatriasi Migran atau membuat permohonan kuota pekerja asing secara sah melalui Kementerian Sumber Manusia.
Beliau berkata, tindakan terhadap premis atau lesen perniagaan turut dibincangkan bersama agensi berkaitan.
“Setiap agensi mempunyai bidang kuasa masing-masing, termasuk pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Kita mengharapkan semua agensi mengambil tindakan tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing,” katanya. – UTUSAN










