PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Negara sempena lawatan negara Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi di Istana Negara, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berdua turut diiringi Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, Datuk Dennis Muhammad Abdullah, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Lawatan Negara Presiden Singapura itu merupakan yang keempat diterima sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, selepas lawatan Sultan Brunei, Presiden China dan Presiden Indonesia.
“Lawatan Negara TYT Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam ke Malaysia adalah sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024,” menurut hantaran itu.
Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Singapura oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), diikuti tembakan hormat 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Tharman kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama RAMD dari Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohd. Masrur Hidayat Masri.
Selepas istiadat sambutan, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan pertemuan bersama Tharman serta delegasi republik itu di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara selain diraikan dalam Majlis Jamuan Negara.- UTUSAN










