PSAP hantar memorandum kepada Sultan Pahang, bantah projek ‘tapping right’ sawit di HSK - Utusan Malaysia

PSAP hantar memorandum kepada Sultan Pahang, bantah projek ‘tapping right’ sawit di HSK

HASLIHELMY DM Zulhasli (kanan) menghantar memorandum bantahan projek 'tapping right' kelapa sawit di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) bersama Gabungan NGO Pahang hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung projek pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas kira-kira 7,550 hektar yang didakwa diluluskan di sebuah daerah negeri ini.

Memorandum bantahan setebal 97 muka surat tersebut dihantar ke pejabat Majlis Kesultanan Pahang di Istana Abu Bakar di sini.

Dokumen tersebut turut diserahkan kepada pejabat Menteri Besar, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli mendakwa, projek ‘tapping right’ kelapa sawit tersebut bukan sahaja boleh mengancam ekosistem hutan simpan, malah bercanggah dengan prinsip kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang pembangunan negeri.

“Memorandum bantahan rasmi ini menuntut agar kelulusan projek itu disemak semula secara menyeluruh. Kami menekankan bahawa suara rakyat mesti didengari dan sebarang keputusan yang melibatkan kawasan HSK tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa rundingan awam.

“PSAP dan Gabungan NGO Pahang berharap ia menjadi titik tolak kepada tindakan segera pihak berkuasa negeri untuk membatalkan kelulusan projek tersebut dan menggantikan dengan pelan pembangunan alternatif yang lebih mesra alam dan memberi manfaat langsung kepada rakyat luar bandar,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Haslihelmy mendakwa, projek itu menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan keutamaan kerajaan negeri serta apakah asas kelulusan diberikan.

“Adakah kajian impak alam sekitar (EIA) sudah dijalankan secara telus? Siapakah pihak yang mendapat manfaat utama daripada projek ini, rakyat atau syarikat tertentu?.

“Adakah kerajaan negeri benar-benar mengambil kira titah Sultan Pahang yang menekankan kepentingan menjaga kelestarian hutan dan sumber asli? Mengapa projek sebesar ini diluluskan di kawasan HSK, sedangkan negeri Pahang sudah pun kaya dengan ladang kelapa sawit sedia ada?,” soalnya.

Beliau berkata, PSAP akan terus berdiri teguh mempertahankan hutan simpan dan menuntut keadilan, ketelusan dan kelestarian, bukan keuntungan jangka pendek yang merosakkan bumi Pahang serta hutan simpan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN