Sekarang barulah boleh fikir mahu cari bunga telur - Ibu Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Sekarang barulah boleh fikir mahu cari bunga telur – Ibu Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz melahirkan rasa lega apabila kini dapat memberi sepenuh perhatian terhadap persiapan perkahwinan anaknya dengan tunang, Bella Astillah.

Sharifah Mahani berkata, dia dan seluruh ahli keluarga sebelum ini sengaja menangguhkan segala persiapan majlis kerana mahu menunggu keputusan rayuan akhir membabitkan Syed Saddiq terlebih dahulu.

Katanya, keputusan mahkamah hari ini menjadi penentu sebelum keluarga dapat memikirkan soal persiapan majlis perkahwinan pasangan berkenaan.

“Kami memang belum membuat sebarang persiapan kerana menunggu keputusan hari ini. Hari inilah penentunya. Sekarang barulah boleh fikir hendak cari dan ikat bunga telur, cari telur dan membuat persiapan lain.

“Sebelum ini memang tiada mood langsung kerana selagi perkara ini belum selesai, kami tidak mampu memikirkan soal majlis.

“Bayangkan jika keputusan hari ini tidak memihak kepada Saddiq, bagaimana perasaan kami? Saya juga tidak mahu mengecewakan keluarga Bella. Perkara ini bukan berlaku setahun dua, tetapi sudah berlarutan begitu lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai prosiding rayuan akhir Syed Saddiq di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sharifah Mahani mengakui tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan yang bakal diputuskan mahkamah.

“Memang saya tak tidur. Tak boleh makan juga. Orang kata kalau bercinta sampai tak mandi, tetapi ini lain pula ceritanya.

“Syukur alhamdulillah, Saddiq dikelilingi insan-insan yang menyayanginya dan memahami segala pengorbanannya,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Mahani turut meluahkan rasa syukur apabila anaknya dikurniakan seorang pasangan yang sanggup setia berada di sisinya ketika melalui detik sukar sepanjang berdepan kes mahkamah.

Katanya, bukan mudah bagi seseorang untuk mendampingi Syed Saddiq yang terpaksa melalui proses perbicaraan mahkamah selama bertahun-tahun.

“Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang mendampingi Saddiq. Selama ini dia perlu turun naik mahkamah.

“Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama? Alhamdulillah, Bella sanggup.

“Sebab itu apabila orang bertanya bila majlis akan diadakan, saya tidak pernah memberikan jawapan kerana hanya menunggu keputusan mahkamah hari ini. Apabila keputusan memihak kepada Saddiq, hati saya sangat gembira,” katanya.

Sharifah Mahani berkata, dia melihat Bella benar-benar berjuang bersama anaknya termasuk ketika Syed Saddiq melalui kesukaran dan tidak mempunyai peruntukan sebagai Ahli Parlimen.

“Insya-Allah, dengan izin Allah, mereka akan disatukan. Saya nampak Bella benar-benar berjuang bersama Saddiq.

“Dia bersama-sama mencari rezeki ketika Saddiq tidak mempunyai peruntukan dan sentiasa memberi kegembiraan kepada anak saya.

“Bagi saya, orang yang mampu membahagiakan anak saya, itulah yang paling layak menjadi bakal menantu saya,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella Astillah mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN