Nenek rentung, rumah dibakar pasangan kekasih diupah along Singapura

Nenek rentung, rumah dibakar pasangan kekasih diupah along Singapura

AB Rahaman Arsad menunjukkan tong minyak yang digunakan pasangan kekasih untuk membakar rumah mangsa dalam sidang akhbar di IPK, Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang nenek berusia 72 tahun ditemukan rentung selepas rumahnya di Kampung Bukit Siput, Segamat dekat sini dibakar pasangan kekasih dipercayai diupah sindiket along Singapura, dalam kejadian 25 Julai lalu.

Kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi dengan mangsa berusia 72 tahun.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian berlaku pada 4.30 pagi di mana Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran lima buah rumah.

Beliau berkata, siasatan pihak polis dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mendapati, terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu.

“Polis Johor menubuhkan Task Force dalam siasatan ini dan berjaya memberkas sepasang kekasih berusia 21 dan 19 tahun di Subang Jaya, Selangor seminggu selepas kejadian.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku diupah sindiket along di Singapura untuk melakukan ugutan jenayah dengan khianat membakar rumah peminjam yang tidak membayar pinjaman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata, pasangan kekasih itu turut disyaki bergiat aktif melakukan jenayah khianat di sekitar Johor dan Selangor sejak Julai lalu dengan bayaran upah sebanyak RM1,000 untuk satu tugasan.

“Untuk kejadian ini, warga emas itu tinggal bersendirian dan tidak pernah menerima ugutan jenayah dan pinjaman disyaki dibuat ahli keluarga mangsa,” katanya.

Tambah beliau, empat kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor dan menerima arahan pertuduhan.

Jelasnya, suspek lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat esok atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Manakala, kekasih lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi pendakwaan, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN