KUALA LUMPUR: Peguam syarikat syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari menyatakan bahawa saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah disebabkan ‘pengkhianatan’ yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.
“Dana awam yang sepatutnya digunakan untuk bagi menjamin sumber tenaga pada masa hadapan dan bagi faedah pesara kerajaan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri kita. Fakta ini sangat jelas.
“10 tahun telah berlalu sejak wang (dana awam) didepositkan ke dalam akaun defendan. Jejak wang ini jelas, bukti dokumen ini sangat banyak dan pengakuan bersumpah Najib (yang turut) menunjukkan kesalahan.
“Kami akan membuktikan kes ini di bawah tiga asas tindakan yang saling melengkapi, iaitu penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, dan salah laku dalam jawatan awam.
“Atas mana-mana asas ini, keadilan menuntut supaya dana awam ini dikembalikan kepada pemilik yang sah (iaitu) rakyat Malaysia,” ujar Kwan Will Sen dalam ucapan pembukaannya dalam kes saman itu.
Selain itu, peguam terbabit menyatakan bahawa pihaknya akan membuktikan bahawa RM32 juta daripada dana RM42 juta yang diselewengkan telah dipindahkan segera kepada dua syarikat yang sebelum ini menampung kekurangan dalam akaun Najib.
“Pemindahan ini dibuat berdasarkan surat arahan yang mengandungi tandatangan peribadi beliau (Najib). Baki RM10 juta lagi dibelanjakan melalui cek peribadi yang dikeluarkan Najib sendiri,” katanya.
SRC International dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. memfailkan saman terhadap Najib pada 2021, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut.
Saman tersebut merupakan antara 22 saman yang difailkan oleh SRC International bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion daripada pelbagai pihak.
Pada prosiding hari ini juga, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling memberitahu, dia hanya mengetahui wang yang dimasukkan ke dalam akaun yang berakhir dengan nombor `880′ dan `906′ adalah akaun peribadi Najib berdasarkan laporan media.
Ujarnya, sekitar September 2014, bekas Setiausaha Sulit Kanan Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, telah memaklumkan kepadanya bahawa dana akan dipindahkan dalam beberapa bulan akan datang ke “akaun bank yang diuruskan oleh” oleh Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).
Tambah wanita itu, pada ketika itu dia tidak mengesyaki arahan yang diberikan kerana Azlin memaklumkan ia adalah bagi tujuan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
YR1M merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan pada Januari 2013 dengan tujuan meningkatkan kualiti hidup golongan yang memerlukan dan meningkatkan taraf pendidikan pelajar luar bandar. IPSB adalah sebuah syarikat yang menjalankan tanggungjawab CSR bagi SRC International.
Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 8 September ini.










