Naik taraf Jalan Teluk Kumbar: P.Pinang harap dapat kelulusan penuh

Naik taraf Jalan Teluk Kumbar: P.Pinang harap dapat kelulusan penuh

PELAN bagi projek menaik taraf Jalan Teluk Kumbar di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri berharap agar projek menaik taraf Jalan Teluk Kumbar yang telah lama diusulkan sebelum ini akan mendapat kelulusan penuh daripada Kementerian Ekonomi untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 di bawah Rolling Plan Pertama (RMK-13 RP1).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, terdahulu, projek menaik taraf jalan tersebut iaitu Laluan Persekutuan FT006, Seksyen 20.00–23.00 telah diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Portfolio, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Cawangan Jalan, Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah RMK-13.

“Cadangan ini sebenarnya telah dikemukakan setiap tahun sejak RMK-11 kerana keperluannya sangat mendesak. Dengan kelulusan awal yang telah diperoleh, kita kini menantikan kelulusan akhir daripada Kementerian Ekonomi agar projek ini dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya di sini, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif KKR yang telah mengangkat permohonan kerja awalan projek naik taraf projek tersebut pada RP1 RMK-13 untuk pertimbangan agensi pusat.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf sepanjang 4.2 kilometer (km) dari jalan tunggal dua lorong (T1-1) kepada jalan berkembar empat lorong (K2-2) mengikut piawaian jalan bandar U5.

“Selain itu, ia turut merangkumi pembinaan semula jambatan Sungai Mati dan pembentung berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar serta penaiktarafan lapan persimpangan iaitu tujuh persimpangan biasa dan satu persimpangan lampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.

Jelas Zairil, pelaksanaan projek itu dijangka mengurangkan kesesakan trafik dengan ketara daripada Tahap Perkhidmatan (Level of Service, LOS) F kepada LOS A serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya melalui reka bentuk persimpangan yang lebih moden dan efisien.

“Malah, ia juga bakal memendekkan masa perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Zon Perindustrian Bayan Lepas serta Jambatan Kedua Pulau Pinang sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan Teluk Kumbar dan Balik Pulau,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan terus komited dalam memperjuangkan kelulusan penuh projek tersebut demi kepentingan rakyat serta pembangunan seimbang di kawasan barat daya Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN