KEPEMIMPINAN tertinggi Pas dilihat sepakat mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden sekali gus memberi isyarat bahawa jawatan nombor satu itu tidak dipertanding dalam pemilihan parti berkenaan di Kedah, bulan depan.
Justeru, tumpuan terarah kepada jawatan Timbalan Presiden yang dijangka berlaku perebutan selepas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dicalonkan oleh Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa untuk bertanding kerusi nombor dua dalam parti itu.
Melihat kepada situasi itu, sudah tiba Mohd. Amar mempertimbangkan pencalonan bagi merebut jawatan tersebut.
Memiliki latar belakang agama yang kuat, Mohd. Amar bukanlah asing dalam Pas. Malah ada beranggapan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu antara watak terakhir yang masih mewarisi acuan kepemimpinan era Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meletakkan perjuangan Islam sebagai asas tanpa kompromi terhadap prinsip.
Bekas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari tahun 1995-1999 itu cukup dikenali dengan ketegasan prinsip, kelantangan hujah serta kefasihan dalam menyampaikan mesej parti secara jelas dan berani.
Sikap itu memperlihatkan beliau antara pemimpin ‘tulen’ yang masih berada pada ‘acuan’ sebenar perjuangan Pas dalam arena politik tanah air hari ini. Pencalonan Mohd. Amar oleh Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa bukan simbolik. Ia muncul dalam suasana ketika Abdul Hadi dilihat semakin memerlukan seorang timbalan yang kuat.
Tambahan, tahap kesihatan Ahli Parlimen Marang itu yang tidak menentu ketika ini memperlihat Pas memerlukan seorang Timbalan Presiden yang mampu membantu ketuanya dalam kerja-kerja mentadbir parti.
Jawatan Timbalan Presiden bukan gelaran semata. Ia adalah posisi penting dalam menyusun gerak kerja parti, menjalin kerjasama politik dan menjaga hubungan dalaman agar tidak pincang.
Sekiranya Mohd. Amar menyatakan hasrat untuk bertanding, ia bukan isyarat pertikaian tetapi sebagai pilihan alternatif dalam strategi jangka panjang parti.
Pertembungan dua tokoh ulama antara Mohd. Amar dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu pentas pemilihan besar seperti ini juga akan menjadi ujian terhadap hala tuju Pas pada masa hadapan.
Ia menjadi penanda aras sama ada ahli memilih kesinambungan atau bersedia untuk memberi ruang kepada wajah yang membawa pendekatan baharu dalam kerangka lama. – UTUSAN










