KANGAR: Selepas lima tahun, perkhidmatan feri Kuala Perlis-Satun, Thailand akan beroperasi semula secara rasmi pada Khamis ini.
Perkhidmatan tersebut sebelum ini terpaksa dihentikan ekoran pandemik Covid-19.
Sebelum bermula perkhidmatan tersebut, satu simulasi dilaksanakan semalam bagi memastikan semua aspek melibatkan operasi, keselamatan dan pematuhan prosedur berada pada tahap terbaik sebelum ia mula dilaksanakan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri yakin kedua-dua pihak kini bersedia sepenuhnya bagi pengoperasian semula perkhidmatan feri tersebut selepas segala persiapan dan penyelarasan selesai.
Katanya, pada peringkat awal, perkhidmatan itu hanya beroperasi dengan kekerapan sekali sehari berikutan keadaan air cetek di jeti Kuala Perlis yang mengehadkan pergerakan feri.
“Dalam masa tiga minggu lagi, sebuah floating poonton juga akan diletakkan di jeti Kuala Perlis bagi memastikan perkhidmatan feri dapat beroperasi sekiranya air surut.
“Perjalanana feri dari Satun-Kuala Perlis akan bermula pada pukul 9.30 pagi dengan kadar tiket 550 bhat manakala dari Kuala Perlis ke Satun pula adalah pada pukul 4 petang dengan tambang RM55,” katanya selepas mengikuti simulasi berkenaan bermula dari jeti Kuala Perlis ke jeti Tammalang, Satun, semalam.
Dalam simulasi itu, Abu Bakar turut mengadakan pertemuan bersama Timbalan Gabenor Satun, Nopporn Nupech.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memastikan kadar tiket paling minimum dapat diberikan oleh pengusaha berikutan pembukaan semula laluan itu sememangnya dinantikan penduduk kedua-dua negara khususnya masyarakat di Perlis dan kawasan Tammalang, Tanjung Pauh, Puyu serta Pulau Panjang di Satun.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri turut merancang mewujudkan Segenting Kra Triangle Community yang menghubungkan Perlis Geopark, Satun Geopark dan Langkawi Geopark bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan pelancongan.
“Dengan adanya jawatankuasa ini, sektor pelancongan juga akan lebih menarik dan kita akan bekerjasama antara tiga kawasan ini,” katanya.-UTUSAN










