PETALING JAYA: Lima syarikat Malaysia menjana potensi jualan melebihi RM58 juta menerusi Program Imersi Pasaran ke Korea Selatan di bawah Program Gate to Global MARA yang berlangsung di Seoul dari 29 Jun hingga 1 Julai lalu.
Program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu bertujuan mempercepatkan pengantarabangsaan syarikat tempatan melalui akses kepada peluang perniagaan strategik di antara ekonomi paling maju dan berinovasi di Asia.
Misi berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik Matrade dan MARA susulan pemeteraian pemorandum Persefahaman (MoU) pada 6 November 2025 yang menggabungkan kepakaran kedua-dua agensi dalam promosi perdagangan antarabangsa dan pembangunan usahawan.
Lima syarikat yang menyertai program tersebut mewakili sektor pertumbuhan tinggi nilai tinggi (HGHV) negara dengan kepakaran dalam penyelesaian pemeriksaan keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), perisian dan perkhidmatan AI, penilaian teknikal pembangunan pusat data, perkhidmatan kenderaan kendalian jauh (ROV) serta teknologi pemetaan pintar.
Sepanjang program tiga hari itu, peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan syarikat korporat Korea Selatan, firma teknologi dan bakal rakan niaga menerusi sesi padanan perniagaan, lawatan syarikat serta aktiviti libat urus pasaran yang diselaraskan oleh Matrade Seoul.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, Korea Selatan terus menawarkan peluang yang besar kepada syarikat Malaysia yang mempunyai produk inovatif dan perkhidmatan khusus.
“Melalui kerjasama dengan MARA, kami menyediakan platform yang berkesan untuk perniagaan Malaysia berinteraksi secara langsung dengan pemain industri utama, memperluas rangkaian antarabangsa mereka dan membuka peluang komersial baharu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil positif program tersebut membuktikan syarikat Malaysia memiliki kepakaran, keupayaan dan penyelesaian inovatif untuk bersaing dalam pasaran luar negara yang mencabar.
“MATRADE akan terus menyokong pertumbuhan antarabangsa syarikat-syarikat menerusi inisiatif akses pasaran strategik serta kerjasama perniagaan,” jelasnya.
Tambahnya, Program Imersi Pasaran ke Korea Selatan ini mencerminkan komitmen bersama Matrade dan MARA dalam memperkukuh daya saing antarabangsa syarikat Malaysia melalui peranan saling melengkapi dalam promosi eksport dan pembangunan perusahaan. – UTUSAN










