KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 12 sebatan ke atas seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan di sebuah sekolah rendah di daerah ini, tiga tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Muslim Mohd.Suhimin, 46, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di dalam kelas di sebuah sekolah rendah di daerah ini pada pukul 3 petang, 15 November 2023.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula tarikh jatuh hukum dan satu sebatan.
Tertuduh turut dikenakan hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu penjara setahun dan dua sebatan yang diperintahkan berjalan selepas selesai hukuman bagi pertuduhan itu.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun di Balai Polis Manir mengikut Seksyen 27 akta sama.
Sementara itu, tertuduh didapati bersalah atas tiga pertuduhan lain melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan yang berusia antara lapan hingga sembilan tahun ketika itu.
Bagi pertuduhan pertama, dia dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana memegang payudara mangsa yang berumur sembilan tahun 11 bulan di kelas sekolah yang sama pada Mei 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah sekali lagi menggosok payudara mangsa ketika berusia lapan tahun tujuh bulan di kelas sekolah sama pada Julai 2022
Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd. Muslim dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah memegang kemaluan mangsa di lokasi sama sekitar Ogos 2022.
Mahkamah turut mengenakan hukuman tambahan penjara setahun dan enam sebatan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut. Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara bagi empat pertuduhan tersebut berjalan secara serentak menjadikan hukuman penjara keseluruhan selama lapan tahun dan 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim bersama Muhammad Asymawi Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Niik Mohd Radhia Abd Ghani. – UTUSAN









