PETALING JAYA: Aemulus Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aemulus Corporation Sdn. Bhd. (ACSB) memperoleh pesanan baharu bernilai RM17.68 juta daripada pelanggan tempatan dalam industri automotif.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, tempahan berkenaan melibatkan pembekalan sistem ujian untuk peranti automotif.
Katanya, hasil daripada tempahan tersebut akan diiktiraf secara berperingkat mengikut penghantaran sistem kepada pelanggan.
“Pesanan baharu yang diperoleh itu dijangka dipenuhi dalam tahun kewangan 2026 dan 2027.
“Tempahan tersebut juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 dan 2027,” katanya.
Aemulus berkata, tempahan berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
Selain itu, syarikat berkata, ia tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
“Pelaksanaan tempahan berkenaan tertakluk kepada beberapa risiko termasuk ketersediaan bahan, perubahan harga bahan mentah, gangguan rantaian bekalan serta perubahan dalam keadaan politik, ekonomi dan peraturan,” ujarnya.
Menurutnya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tempahan tersebut. – UTUSAN










