BERA: Seorang eksekutif jualan Bank Islam maut selepas motosikal yang ditunggangnya dalam perjalanan ke program RXZ Members 7.0 di Terengganu terbabas dan melanggar tebing jalan di Jalan Palong 8, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Syukri Shahrudin, 33, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala serta tangan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa dari arah Rembau menuju ke Terengganu sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu bergerak lurus tanpa membelok sebelum melanggar tebing di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Zulkiflee berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan untuk menyertai Himpunan RXZ di Terengganu bersama konvoi kira-kira 60 buah motosikal lain.
Mangsa dilaporkan berada di hadapan konvoi dan antara yang terawal bergerak, sebelum dua rakan yang menunggang berhampiran mengesahkan dia terbabas di lokasi kejadian. – UTUSAN










