IPOH: Polis telah mengenal pasti suspek yang dipercayai mencederakan dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama dalam kejadian di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan dia dipercayai masih berada di dalam negeri.
Katanya, kedua-dua anggota polis yang cedera dalam kejadian itu kini menjalani cuti sakit di rumah selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“Suspek telah dikenal pasti dan polis sedang berusaha mengesannya. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
“Kedua-dua anggota yang cedera pula masih bercuti sakit di rumah. Kecederaan yang dialami agak serius, jadi kita berikan cuti agak panjang untuk pemulihan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang sarjan berusia 44 tahun dan konstabel berusia 27 tahun dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala, muka dan lengan.
Insiden berlaku ketika kedua-dua anggota tersebut menjalankan pemeriksaan sebelum suspek yang dipercayai penagih dadah bertindak agresif dengan menyerang menggunakan senjata tajam.
Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus selepas serangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – UTUSAN










