Mahasiswa UiTM santuni warga emas dengan sentuhan AI

Mahasiswa UiTM santuni warga emas dengan sentuhan AI

SERAMAI 27 pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam yang telah menganjurkan program Heart2Hope: Spreading Care, Inspiring Hope di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Prihatin terhadap kesihatan mental warga emas, seramai 27 mahasiswa Komunikasi Antarapersonal UiTM Shah Alam menyantuni penghuni Pusat Jagaan Mahmudah menerusi program Heart2Hope: Spreading Care, Inspiring Hope, baru-baru ini.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan emosi penghuni pusat jagaan menerusi interaksi sosial, aktiviti fizikal ringan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu turut menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai penuaan sihat menjelang Malaysia menjadi negara tua pada tahun 2030.

Program tersebut diketuai Beno Mustapha selaku Ketua Projek dengan dibantu Penolong Ketua Projek, Fatin Ismail manakala pengurusan program pula diselaraskan oleh Azura Yusof sebagai Setiausaha dan Maslinda Md. Zain selaku Bendahari.

Menurut Beno, program tersebut direka khusus untuk memperkasa nilai dan keyakinan diri warga emas terlibat, di samping memberi hiburan serta pengalaman bermakna kepada mereka.

“Matlamat kami adalah untuk memberi ruang kepada penghuni berasa dihargai, didengari dan terus mempunyai semangat untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna,” katanya.

Antara pengisian utama program ialah Terapi Memori Kreatif berasaskan AI, sesi Memory Challenge, senamrobik ringan serta gotong-royong menceriakan kawasan pusat jagaan.

Menerusi aktiviti tersebut, penghuni berpeluang berkongsi kisah hidup dan kenangan peribadi yang kemudiannya diterjemahkan kepada imej menggunakan teknologi AI sebagai cenderahati istimewa.

Sementara itu, ketua biro logistik, Ahmad Firman berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas, malah menjadi platform kepada mahasiswa untuk menghayati nilai ehsan yang menjadi teras Malaysia Madani.

“Kadangkala kita terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga terlupa masih ada golongan yang sangat memerlukan perhatian, kasih sayang dan kehadiran kita.

“Program seperti ini diharap dapat menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.

 

Sementara itu, seorang penghuni Pusat Jagaan Mahmudah, Arifin, meluahkan rasa syukur terhadap layanan dan penjagaan yang diterimanya di pusat berkenaan.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada generasi muda supaya sentiasa menghormati dan menjaga ibu bapa selagi mereka masih ada.

“Saya suka tinggal di sini kerana mempunyai ramai kawan untuk berinteraksi. Tambahan pula, selalu ada pelawat yang datang bertanya khabar dan menggembirakan kami. Alhamdulillah, tempat ini memang bagus.

“Kalau masih ada ibu bapa, jagalah mereka dengan sebaik-baiknya. Jangan abaikan mereka dan hormatilah setiap nasihat yang diberikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan penghuni Pusat Jagaan Mahmudah, jawatankuasa program turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM5,050 selain barangan keperluan harian dan pelbagai peralatan.

Keseluruhan nilai sumbangan serta tajaan yang berjaya dikumpulkan dianggarkan mencecah kira-kira RM24,800, sekali gus mencerminkan komitmen mahasiswa UiTM dalam menyantuni masyarakat dan memperkasakan budaya kesukarelawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN