PETALING JAYA: Hibiscus Petroleum Berhad berjaya mencapai pengeluaran minyak pertama bagi medan Teal West yang terletak di Blok 21/24d di Laut Utara, United Kingdom (UK) pada 4 Julai lalu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Hibiscus Petroleum berkata, kadar pengeluaran minyak awal selepas pengeluaran pertama adalah kira-kira 6,000 tong sehari (bbl/hari), yang dicapai sebagai sebahagian daripada prosedur permulaan operasi terkawal.
Katanya, jumlah tersebut berada dalam julat pengeluaran awal yang dijangkakan antara 4,000 bbl/hari hingga 10,000 bbl/hari.
“Kadar pengeluaran minyak itu dijangka meningkat secara berperingkat apabila keadaan operasi yang stabil dicapai selepas proses pengoptimuman telaga selesai dilaksanakan.
“Medan Teal West dijangka menyumbang jumlah pengeluaran tambahan kepada segmen perniagaan UK kumpulan serta menyokong objektif North Sea Transition Authority untuk memaksimumkan pemulihan ekonomi daripada UK Continental Shelf,” katanya.
Tambahnya, Hibiscus Petroleum memiliki kepentingan 100 peratus dalam medan Teal West. – UTUSAN










