Malaysia siasat perlanggaran gencatan senjata Thailand-Kemboja

Malaysia siasat perlanggaran gencatan senjata Thailand-Kemboja

MOHD. Nizam Jaffar (tengah) ketika menghadiri Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas, Tampin hari ini. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang diketuai Malaysia menyiasat ketelusan gencatan senjata antara dua buah negara Thailand dan Kemboja seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC), minggu lalu.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, peranan itu kini sedang dilaksanakan dan pihaknya ada menerima laporan daripada kedua-dua negara berlaku beberapa perlanggaran gencatan senjata.

“Yang ini (perlanggaran) kami ambil laporan tersebut. Pasukan di lapangan akan membuat siasatan dan memaklumkan kepada kedua-dua pihak.

“Kami juga meminta Thailand dan Kemboja untuk berhubung dengan Joint Action Group (JAG) yang terdiri daripada kedua-dua negara tersebut termasuk berkaitan perundangan dan sebagainya.

“Kami (ATM) punya matlamat dan tugas utama adalah memastikan gencatan senjata berjalan dengan telus dan lancar. Itu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Minggu lalu, pasukan pemerhati ASEAN dimuktamadkan di mana kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan IOT yang terdiri daripada atase pertahanan negara anggota ASEAN.

Pasukan berasingan itu akan beroperasi dengan kerjasama rapat bersama Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC) dan GBC masing-masing.

Thailand dan Kemboja juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan selepas 7 Ogos di lokasi yang akan ditentukan.

Dalam pada itu, Mohd. Nizam berkata, buat masa ini, IOT akan mengadakan perjumpaan dengan pihak Thailand dan Kemboja sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu bagi melaporkan situasi terkini kedua-dua negara tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, Malaysia sentiasa bersedia untuk menghantar wakil di peringkat selanjutnya selepas IOT iaitu Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT) bagi kedua-dua negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN