PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan import dari Malaysia, berkuat kuasa hari ini.
Ia merupakan kadar baharu yang ditetapkan Presiden AS, Donald Trump berbanding 25 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Laman sesawang The White House semalam memuat naik dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025.
Arahan yang dimeterai itu meminda Perintah Eksekutif 14257, sekali gus menyusun semula kadar tarif balas terhadap beberapa rakan dagang utama, termasuk kesemua negara ASEAN utama.
Struktur tarif baharu tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh tujuh hari dan terpakai ke atas semua barangan yang memasuki AS untuk tujuan penggunaan, dengan pengecualian terhad kepada penghantaran yang sudah dalam perjalanan.
Selain Malaysia, empat lagi negara ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja turut dikenakan kadar tarif serupa sebanyak 19 peratus.
Vietnam pula dikenakan kadar lebih tinggi iaitu 20 peratus manakala Brunei kekal dengan 25 peratus.
Laos dan Myanmar mencatat kadar tertinggi dalam senarai terbaharu dengan tarif 40 peratus manakala Singapura tidak disenaraikan dalam pusingan pelarasan kali ini.
Langkah terbaharu ini adalah kesinambungan kepada dasar perdagangan agresif Trump yang sebelum ini terkenal dengan penggunaan tarif sebagai alat rundingan dan perlindungan industri domestik AS.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah mengadakan perbualan telefon dengan Trump pada pukul 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.
Anwar berkata, perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama wakil perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS. – UTUSAN










