PETALING JAYA: Pelakon, June Lujong, berharap agar peminat dapat menghormati keputusan juri Festival Filem Malaysia ke-35 susulan namanya tiada dalam senarai akhir kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Walaupun ramai netizen menzahirkan rasa berang dan menyifatkan kualiti lakonannya dalam naskhah terbaharu wajar diberikan pengiktirafan, June sebaliknya menganggap sokongan padu yang diterima sebagai ‘anugerah’ paling bermakna buat dirinya.
“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan oleh semua pihak. Bagi saya, kata-kata semangat dan sokongan kalian itu sudah merupakan satu anugerah besar buat saya. Terima kasih banyak-banyak,” tulisnya di aplikasi Threads.
Dalam pada itu, June turut menggesa orang ramai agar tidak terus mempertikaikan kredibiliti barisan juri profesional yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai setiap naskhah yang bertanding.
Pelakon Polong itu percaya setiap keputusan yang dibuat oleh panel penilai adalah berdasarkan kepakaran dan kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
“Apa pun, saya mohon agar semua pihak menghormati pemilihan juri profesional kerana mereka adalah pakar dalam membuat keputusan yang terbaik bagi industri kita.
“Janganlah kita terlalu emosi, sebaliknya teruslah memberikan sokongan kepada industri perfileman tanah air secara positif.
“Tahniah kepada semua yang berjaya tercalon. Barisan pelakon yang terpilih memang hebat-hebat belaka dan saya tumpang bangga dengan pencapaian mereka,” ujarnya.
Terdahulu, ruangan media sosial dihujani komen warga maya yang tidak berpuas hati apabila June gagal membolosi kategori lima terbaik Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Antara pelakon yang membolosi kategori tersebut ialah Zarra Zhaff (Khadam), Sofia Jane (Malam Terlarang), Sara Ali (Libang Libu), Pearly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung Unforgiven). -UTUSAN











