Import murah boleh jejas industri tempatan

Import murah boleh jejas industri tempatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebergantungan berterusan terhadap produk import yang ditawarkan pada harga lebih murah boleh menjejaskan kelangsungan pengeluar tempatan serta meningkatkan kebergantungan negara kepada pembekal luar dalam jangka panjang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pengeluar tempatan kehilangan keupayaan untuk terus beroperasi sekiranya tidak mampu bersaing dengan produk import.

Beliau berkata, penutupan kilang tempatan bukan sahaja menghilangkan peluang pengeluaran dalam negara, malah boleh menyebabkan Malaysia semakin bergantung kepada produk dari luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Akhirnya, produk yang dahulu kita import dengan harga murah juga boleh menjadi mahal apabila syarikat tempatan yang pernah menghasilkannya sudah menutup kilang.

“Sebab itulah keadaan ini antara yang menyebabkan berlakunya defisit dagangan besar antara Malaysia dengan China,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, kerajaan justeru itu perlu mengambil tindakan drastik bagi melindungi ekonomi negara daripada risiko kebergantungan terhadap import, khususnya dari negara yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan industri tempatan terus berdaya saing, selain mengelakkan negara terlalu bergantung kepada bekalan luar ketika berdepan ketegangan perdagangan antara kuasa ekonomi dunia.

Katanya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri kini memberi tumpuan untuk menganalisis produk yang menyumbang kepada defisit dagangan Malaysia dengan China yang mencecah RM146 bilion pada tahun lalu.

“Kalau kita tengok, Amerika Syarikat (AS) dan China merupakan dua ekonomi terbesar dunia. AS mempunyai saiz ekonomi AS 32 trilion, manakala China 19.1 trilion. Dulu, apabila kedua-dua negara ini tidak mempunyai masalah, kita turut mendapat manfaat. Tetapi sekarang, apabila berlaku masalah, masing-masing mengenakan sekatan.

“Kalau kita berdagang dengan AS, kita mempunyai lebihan dagangan RM100 bilion pada tahun lalu. Tetapi apabila berdagang dengan China, kita mengalami defisit sebanyak RM146 bilion.

“Jadi, tumpuan kita di peringkat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah menganalisis semua produk yang menyebabkan negara mengalami defisit dagangan begitu besar dengan China,” katanya.

Katanya, penelitian tersebut turut melibatkan usaha mengenal pasti produk yang pernah dihasilkan oleh syarikat tempatan tetapi tidak lagi dikeluarkan berikutan penutupan operasi atau faktor kos pengeluaran.

“Kita akan lihat, kalau dahulu syarikat tempatan pernah menghasilkan produk ini, kenapa sekarang mereka tidak boleh mengeluarkannya lagi sehingga ada yang menutup sebahagian operasi?

“Ini kerana kita terlalu mudah membenarkan import sebagai alternatif kepada kos pengeluaran. Akhirnya, dalam jangka panjang, syarikat tempatan yang biasa menghasilkan produk berkenaan terpaksa menutup kilang,” katanya.

Dalam hal ini, Johari berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri libat urus bersama syarikat tempatan bagi meneliti langkah yang perlu diambil untuk memperkukuh industri domestik.

Katanya, meskipun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan, kepentingan ekonomi negara dalam jangka panjang perlu diberikan keutamaan.

“Dalam proses ini, kita sudah mengadakan banyak siri libat urus dengan syarikat tempatan. Walaupun mereka tidak bersetuju, untuk manfaat jangka panjang negara, kita perlu mengambil tindakan yang sangat drastik.

“Kita mesti memastikan ekonomi negara dapat dilindungi tanpa terlalu bergantung kepada negara-negara yang kita rasa boleh menjejaskan ekonomi kita secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini