KUALA LUMPUR: Penyampai radio, Issey Fazlisham menjelaskan kempen anti buli yang digerakkan sempena penganjuran Makar Fest pada 29 Ogos hingga 1 September ini bukan menunggang isu yang hangat diperkatakan sekarang ini.
Issey yang juga penganjur bersama festival tersebut berkata sebaliknya kempen berkenaan dilaksanakan untuk menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang masalah buli yang semakin membimbangkan.
“Bukan tunggang isu, tetapi mahu beri kesedaran. Masalah buli ini hangat diperkatakan sekarang. Kami dianggap ketinggalan jika tidak bercakap tentangnya.
“Dan kenapa kami tidak gunakan platform Makar Fest untuk bercakap tentang masalah buli?
“Pada saya festival ini akan menjadi platform yang sangat bagus untuk memberi kesedaran,” katanya pada sidang media Makar Fest di ibu negara, semalam.
Turut hadir adalah Sabri Yunus dan isteri, Angeline Tan serta pelawak, Azizul Ammar Abu Hassan atau Ammar Titan.
Kata Issey lagi, penganjur sedia memanfaatkan platform penganjuran Makar Fest untuk menuntut keadilan buat mangsa buli.
“Menerusi kempen ini, kita juga mahu mengingatkan golongan ibu bapa agar lindungi anak mereka daripada gejala buli. Sebagai ayah, saya cukup takut anak-anak saya terpengaruh dengan gejala ini.
“Sebab itu, saya dan seluruh team Makar Fest mahu sebarkan kesedaran menerusi festival ini,” katanya.
Makar Fest yang bakal dianjurkan di Kota Jail, Johor Bahru akan dihidupkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Break the Silence (Rap,Dance & Grafiti Show), Malam Kebudayaan Makar Fest, Pesta Makar Fest (Indie Band), Family Got Talent, pertandingan mewarna wau bulan dan banyak lagi.
Dalam masa yang sama, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pementasan arahan Sabri Yunos, Teater Dalam Penjara yang akan dipentaskan pada 30 Ogos ini.
Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi Instagram rasmi Makar Fest. -UTUSAN