Tiada istilah setiakawan dalam Bersatu, hanya khianat, pentingkan diri - Pemimpin Amanah

Tiada istilah setiakawan dalam Bersatu, hanya khianat, pentingkan diri – Pemimpin Amanah

AIMAN ATHIRAH SABTU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin Amanah menyifatkan tiada istilah setiakawan dalam Bersatu malah kemelut politik yang berlaku di Perlis ibarat ‘kawan makan kawan’.

Ketua Wanita Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu mendakwa, sejarah awal penubuhan Bersatu sendiri tidak dapat dipisahkan daripada episod pengkhianatan mandat rakyat apabila beberapa pemimpinnya memilih jalan pintas demi merebut kuasa.

Dakwanya, pengkhianatan berskala besar itu didorong oleh nafsu kuasa segelintir pemimpin, namun ironinya sebagai penyatuan Melayu dan diberi jenama halal dengan sentimen kebencian terhadap DAP dijadikan ‘ramuan’ penguat.

“Bersatu sememangnya licik, pencapaian awalnya adalah khianat mandat rakyat. Bahasa yang digunakan oleh kebanyakan pemimpin Pas hari ini selepas polemik Perlis adalah ‘kawan makan kawan’.

“Mana ada istilah setiakawan dalam kamus Bersatu. Yang ada hanyalah khianat dan pentingkan diri, tetapi jangan lupa, Pas juga pernah merasai nikmat menjadi Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan hasil kerjasama politik yang lahir daripada pengkhianatan dan sikap ‘kawan makan kawan’ Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas budaya politik semasa, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, generasi hari ini didedahkan dengan politik bermartabat rendah yang menjadikan ungkapan ‘tiada kawan dan lawan yang kekal’ sebagai justifikasi untuk menghalalkan pelbagai cara.

“Memang suatu yang sangat malang apabila generasi kita ini didedah didik dengan politik rendah martabat dan akalnya dengan kepercayaan serta amalan bahawa ‘dalam politik, tiada kawan dan lawan yang kekal’.

“Diguna semberono dalam banyak masa. Ini sebetulnya badi kuasa! Diulang ratib dengan sempurna oleh kebanyakan, meski agama mengingatkan kita niat sama sekali tidak menghalalkan cara,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh pendirian Pas yang berubah daripada konsep tahaluf siyasi kepada ta’awun siyasi, dengan memilih musuh tradisi sebagai kawan, apabila merasakan mustahil membentuk kerajaan tanpa sokongan UMNO.

“Di situ liciknya politik Pas yang gagal dibaca oleh kebanyakan kerana dibungkus kemas dengan agama. Puluhan tahun rakyat diasuh untuk percaya UMNO sebagai parti taghut, namun naratif itu berubah secara mendadak apabila kepentingan kuasa mengambil tempat.

“Kegagalan mengurus perbezaan dengan DAP pula dijadikan alasan memecahkan Pakatan Rakyat. Nah, ini bukan setiakawan,” katanya.

Beliau turut mengula tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh dilihat mengambil kesempatan daripada isu adendum dan kemelut politik di Perlis untuk mengasak permusuhan dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun kerajaan sedang berusaha membangunkan negara.

Menurutnya, sikap provokatif berterusan hanya mencerminkan kegagalan sebahagian pemimpin menghayati semangat perpaduan dan kerjasama dalam kerajaan bersama.

“Dalam apa saja kerjasama, kesalingfahaman dan hormat itu petua asas. Jangankan dengan pihak luar daripada kerangka kelaziman kita, bahkan dalam pasukan yang sama atau rumah yang sama dan darah daging sendiri pun wajib dipatuhi.

“Daripada terus menguak jurang perbezaan dan mencetuskan permusuhan, lebih manis dan matang jika semua pimpinan pemuda Perpaduan bertemu dan mengamalkan rukun ukhuwah yang jujur dan santun.

“Belajarlah daripada kematangan, tawaduk, kebijaksanaan dan hikmah pemimpin-pemimpin kita. Jangan fikir kita sahaja yang terluka dan marah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN