KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan rangkaian jenayah terancang yang dianggotai kira-kira 35 individu tumpas apabila seramai 17 ahli mereka ditahan.
Penahanan kesemua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kedah dan Cawangan Khas Bukit Aman dalam Op Tiga yang dilaksanakan dari 27 November hingga 4 Disember lalu.
Kumpulan yang disifatkan ganas itu dikesan aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan seperti rompakan, mendatangkan kecederaan parah dan bunuh sejak tahun 2020 di kawasan Sungai Petani, Kedah serta Pulau Pinang.
Selain itu, kumpulan yang dahulu dikenali sebagai Geng 35 dan Geng Rusa Boy itu mempunyai struktur organisasi tersusun dengan pembahagian peranan termasuk kumpulan penyerang, kutipan kewangan serta pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, daripada 17 tangkapan tersebut, tujuh individu pernah ditahan di bawah Seksyen 130 V Kanun Keseksaan yanG telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun sebelum dibebaskan pada Januari 2024.
Kata beliau, selepas dibebaskan, mereka kembali aktif dalam kegiatan jenayah terancang kumpulan yang sama.
“Hasil semakan mendapati kesemua 17 individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, rompakan berkumpulan bersenjata api, mendatangkan kecederaan parah serta pengedaran dadah.
“Kesemua mereka kini ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan siasatan menyeluruh terhadap keseluruhan rangkaian kumpulan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Kumar memberitahu, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Disember dan arahan telah diberikan untuk mendakwa kesemua suspek esok di Mahkamah Seksyen Sungai Petani, Kedah.
Kata beliau, pihaknya juga kini masih memburu baki ahli kumpulan yang masih bebas termasuk ketua kumpulan, G.R Rames, 36.
“Usaha agresif sedang dijalankan bagi mengesan serta menangkap 15 individu dan dikategorikan sebagai dikehendaki polis (wanted). Kami percaya kesemua mereka masih berada di sini dan pihak kami sangat agresif mengesan mereka,” jelasnya.
Beliau menegaskan, penggunaan peruntukan undang-undang SOSMA akan digunakan dalam siasatan ini bagi mengekang keseluruhan rangkaian kumpulan jenayah terancang.
Selain itu, jelas beliau, peruntukan undang-undang ini juga diperlukan bagi melindungi identiti serta keselamatan saksi dan memastikan kumpulan terbabit tidak terus mengancam keselamatan awam.
“Setakat ini, tiada pengesahan dapat mengaitkan kumpulan ini dengan mana-mana kejadian atau kes tembakan yang berlalu sejak kebelakangan ini. Kami percaya dengan tangkapan ini, kegiatan kumpulan jenayah terancang ini dapat dipatahkan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat dapat dikurangkan,” katanya.
Katanya, tindakan menumpaskan kumpulan ini adalah sebahagian daripada Op Cantas yang dijalankan secara berterusan bagi membanteras jenayah terancang dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam. – UTUSAN









