Rakaman audio jadi bukti penting kes tembak Durian Tunggal

Rakaman audio jadi bukti penting kes tembak Durian Tunggal

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakaman audio yang mempunyai kaitan dengan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu disifatkan sebagai salah satu bukti penting dalam siasatan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, laporan analisis forensik terhadap rakaman audio yang diserahkan oleh pihak pengadu masih belum diterima daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) setakat ini.

“Rakaman audio berkenaan telah dihantar untuk dianalisis bagi mengesahkan ketulenan serta mengenal pasti suara yang didakwa berkait dengan kejadian berkenaan.

“Rakaman audio itu merupakan salah satu elemen penting dalam siasatan dan kita masih menunggu laporan rasmi daripada CSM sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain analisis audio, polis turut mengambil sampel perbandingan suara daripada ahli keluarga pengadu serta pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkenaan bagi tujuan pengesahan.

Kata M. Kumar, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini untuk mendapatkan arahan serta nasihat lanjut sebaik laporan forensik diterima.

“Setakat ini, seramai 45 saksi telah diambil keterangan. Kertas siasatan dirujuk AGC bagi semakan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, M. Kumar memaklumkan, pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam insiden tembakan itu tidak terlibat dalam sebarang penugasan aktif ketika sementara siasatan berjalan.

Jelas beliau, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Siasatan dalaman turut dijalankan oleh Unit Integriti PDRM, termasuk siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selain siasatan jenayah yang sedang berjalan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan buat masa ini, pegawai serta anggota yang terlibat tidak menjalankan penugasan aktif,” katanya.

Pada Selalu minggu lalu, AGC mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Menurut AGC, pihaknya telah dirujuk berhubung laporan kes berkenaan dan berdasarkan taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan itu bersetuju untuk mengarahkan klasifikasi semula siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di lengan kiri.

Kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun 2024 dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.35 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×