Mak nyah maut dibunuh, digilis dengan lori

Mak nyah maut dibunuh, digilis dengan lori

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat lelaki berperwatakan wanita di lorong berdekatan Jalan Horley, Kampung Jawa, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki berperwatakan wanita ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di lorong berdekatan Jalan Horley, Kampung Jawa di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui seorang pekerja hotel kira-kira pukul 6 pagi dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kecederaan serius di bahagian kepala dan belakang badan.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada pukul 4.24 pagi menunjukkan mangsa dikejar sebuah lori bonded berwarna putih sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

“Mangsa yang jatuh di hadapan kenderaan itu kemudiannya digilis sebelum ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang dokumen untuk mengesahkan pengenalan diri mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan kepala dan dada akibat pelanggaran jalan raya.

“Pemilik dan pemandu kenderaan berkenaan telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan mereka untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Mahani Mohammed di talian 019-2618221 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN