NARATHIWAT (THAILAND): Bekas penjaga gol pasukan Kelantan FA musim 2019 ditahan reman selama 80 hari bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan sehingga seorang lelaki rakyat Malaysia maut dalam kejadian di Sungai Golok, Sabtu lalu.
Suspek yang mempunyai dua kerakyataan itu kini ditahan di Penjara Pusat Narathiwat selepas polis mendapat kebenaran mahkamah untuk tahanan reman.
Jurucakap polis Sungai Golok berkata, suspek dihantar ke Penjara Pusat Narathiwat pukul 6 petang kelmarin dan kini menjalani kuarantin selama dua minggu.
Menurutnya, suspek ditahan di Jalan Charoen Khet, Mukim Sungai Golok pada pukul 6 petang waktu tempatan, sehari selepas kejadian.
“Polis turut merampas dua pucuk pistol separa automatik yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Utusan Malaysia pada 5 Oktober lalu melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan dendam dan hutang lama menjadi motif seorang warganegara Malaysia ditembak sebanyak 18 das sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Sungai Golok.
Jurucakap polis bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih dijalankan selepas suspek utama dalam kejadian itu berjaya diberkas kelmarin.
“Kami tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut siasatan. Siapa yang hutang siapa masih dalam siasatan. Tetapi kes ini ada kaitan dengan hutang,” katanya.
Sebelum itu, seorang rakyat Malaysia, Mohd. Fuad Fahmie Ghazalie, 33, meninggal dunia selepas ditembak di halaman rumahnya di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand, Sabtu lalu.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sungai Golok selepas ditembak bertalu-talu dalam kejadian itu. – UTUSAN










