Mamdani menang, orang Yahudi di New York mula ‘gelabah’

Mamdani menang, orang Yahudi New York mula ‘gelabah’

DATUK Bandar New York, Zohran Mamdani (tengah) berucap semasa sidang akhbar di Unisphere di Flushing Meadows Corona Park di daerah Queens, New York, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York mencetuskan kebimbangan dalam kalangan segelintir penduduk Yahudi, yang kononnya meramalkan kehidupan mereka akan terjejas.

Beberapa penduduk Yahudi mendakwa kecewa dan takut selepas seorang aktivis sayap kiri anti-Israel kini memimpin bandar yang menjadi rumah kepada komuniti Yahudi terbesar Diaspora.

Kemenangan Mamdani menimbulkan kekecewaan besar dalam kalangan komuniti Yahudi, yang sangat mengharapkan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo, kembali memimpin bandar itu.

Segelintir mereka turut meluahkan kemarahan terhadap calon Republikan, Curtis Sliwa, kerana dianggap memecahkan undi yang sepatutnya boleh menjadi milik Cuomo.

“Rasanya seperti kosong, saya risau tentang masa depan bandar ini,” kata seorang Yahudi Ortodoks Moden dari Manhattan, Ariel Kohane.

Kohane berkata, dia pada awalnya menyokong Silwa sehingga beberapa hari terakhir, sokongannya beralih kepada Cuomo selepas melihat calon Republikan itu tiada peluang untuk menang.

“Saya sokong Cuomo kerana dia satu-satunya cara untuk menghentikan Mamdani. Sekurang-kurangnya Cuomo bukan antisemitik dan akan membenarkan Yahudi hidup dengan cara sendiri,” katanya.

Walaupun timbul kebimbangan tersebut, tiada sebarang insiden antisemitisme dilaporkan sejak kemenangan Mamdani diumumkan.

Dalam pilihan raya yang mencatatkan jumlah pengundi tertinggi sejak tahun 1969, Mamdani, 34, menewaskan Cuomo dan Sliwa dengan kemenangan yang mengejutkan ramai pihak.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai orang Islam dan berketurunan Asia Selatan pertama yang memimpin bandar metropolitan itu.

Ketua kumpulan yang menyokong guru Yahudi di New York, Moshe Spern, turut bimbang pemerintahan Mamdani akan memberi kesan kepada pendidikan komuniti berkenaan.

“Saya risau tentang indoktrinasi kanak-kanak untuk membenci Israel, berfikir Israel diasingkan dan melakukan genosid, seperti yang sering disebarkan Mamdani sejak dua tahun lalu,” katanya.

Bahkan, beberapa Yahudi juga menganggap New York kini ‘dirampas’ selepas kemenangan Mamdani, dan mendakwa kemungkinan ramai orang Israel di bandar itu akan mempertimbangkan untuk berpindah.

Semasa berucap selepas kemenangan Mamdani diumumkan, Cuomo menegaskan dirinya meraikan kepelbagaian dan tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk diskriminasi.

“Kami tidak bertoleransi terhadap diskriminasi, sama ada berdasarkan bangsa, agama, orientasi seksual atau kepercayaan, dan tidak berkompromi dengan tingkah laku yang menyalakan kebencian terhadap Yahudi,” kata Cuomo.

Aktivis politik dari Kew Gardens di Queens, Israel Peskowitz, berpendirian berbeza apabila meluahkan rasa kesal terhadap kempen Cuomo.

Peskowitz percaya Speaker Dewan Bandaraya New York, Adrienne Adams, sepatutnya menerima sokongan parti dan Cuomo menarik diri selepas tewas dalam pemilihan awal kepada Mamdani.

Beliau menggambarkan kempen Cuomo sebagai ‘kegagalan yang sudah dijangka’.

“Dia (Mamdani) kata bukan anti-Yahudi, dia anti-Zionis. Adakah dia akan membenarkan rusuhan lain seperti di Crown Heights atau Kristallnacht bahagian kedua?,” kata Peskowitz merujuk kepada rusuhan Brooklyn pada 1991 yang menyasarkan komuniti Yahudi.

Peskowitz turut meluahkan kebimbangan terhadap dasar Mamdani, terutama berkaitan isu Israel.

“Kita perlu bersedia dan lihat sama ada dia seorang datuk bandar yang menepati idealismenya, kerana ramai pengikutnya membenci kita, sama ada kerana Zionisme, Yahudi atau seribu alasan lain.

“Dia boleh memperburuk keadaan. Dia boleh membenarkan satu pihak bertindak sesuka hati sementara pihak lain ditekan ketika membantah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN