Bukan sekadar periksa beg, tapi bentuk akhlak

Bukan sekadar periksa beg, tapi bentuk akhlak

UTUSAN MALAYSIA 5 NOVEMBER 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan pemeriksaan mengejut beg seko­lah dalam kalangan murid mendapat sokongan ibu bapa yang melihat langkah itu sebagai satu keperluan mendesak dalam memastikan disiplin dan kesela­matan anak-anak di sekolah sentiasa terjamin.

Tinjauan Utusan Malaysia men­­dapati, rata-rata ibu bapa yang ditemui menyokong tindakan pemeriksaan mengejut demi mengekalkan disiplin dan keselamatan murid-murid di sekolah.

Seorang bapa, Firdaus Zulkifli, 40, berkata, tindakan itu bukan sekadar prosedur biasa, sebalik­nya perlu dijadikan amalan berterusan memandangkan kanak-ka­nak hari ini terdedah kepada pel­bagai pengaruh luar termasuk media sosial dan permainan da­lam talian yang boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

Menurut jurutera itu, keba­nya­kan ibu bapa hanya bertemu anak dalam tempoh yang singkat setiap hari berbanding guru yang menghabiskan hampir 70 peratus masa bersama mereka di sekolah, justeru pihak sekolah wajar diberi kuasa menjaga kese­lamatan dan disiplin pelajar.

FIRDAUS ZULKIFLI

“Pemeriksaan ini bukan untuk memalukan murid, tetapi untuk menjaga keselamatan me­reka. Dunia sekarang makin mencabar, jadi pemantauan mesti lebih kuat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan ke­bimbangan mengenai penggu­naan telefon pintar dalam ka­langan murid yang boleh mendedahkan mereka kepada kandungan tidak sesuai serta membentuk tingkah laku negatif tanpa disedari ibu bapa.

Berikutan kaedah pelaksana­an, ibu bapa berpandangan pe­meriksaan harus dilakukan se­cara berhemah tanpa menimbulkan rasa malu atau trauma kepada pelajar, selain mematuhi peraturan sekolah yang telah ditetapkan.

“Ini bukan soal memalukan sesiapa. Kalau kita yakin anak kita tidak membawa barang terlarang, tidak ada apa yang perlu ditakutkan,” katanya.

Seorang lagi bapa, Shahrizan Muhammad Rafair, 48, berpendapat, pemeriksaan mengejut mampu mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk murid membawa barang berbahaya seperti pisau, mercun dan peralatan yang tidak ada kaitan dengan pembelajaran.

SHAHRIZAN MUHAMMAD RAFAIR

Beliau menegaskan, kesela­matan murid tidak boleh dipandang ringan memandangkan latar belakang dan persekitaran setiap pelajar adalah berbeza dan sukar dijangka.

“Tujuan pemeriksaan ini untuk melindungi semua pelajar. Kita tidak tahu apa yang ada dalam beg pelajar lain. Jadi lebih baik kita cegah daripada menyesal,” katanya.

Beliau turut menekankan tanggungjawab membentuk di­siplin anak-anak tidak boleh dise­rahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya bermula daripada rumah sebelum diteruskan oleh guru.

“Segala-galanya bermula di rumah. Ibu bapa perlu memantau beg anak sebelum ke sekolah. Kerjasama dua pihak ini yang menjadikan pendidikan itu berjaya,” katanya.

Manakala, seorang ibu, Nor Aniza Ahmad, 48, berkata, pendekatan itu memberi kelegaan kepada ibu bapa kerana pelajar tidak lagi berani membawa barang terlarang ke sekolah.

NOR ANIZA AHMAD

“Langkah pemeriksaan men­ge­jut itu penting dalam memastikan persekitaran sekolah kekal selamat, sekali gus mengelakkan insiden tidak diingini yang boleh menggugat kesejahteraan murid dan imej institusi pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN