Lima syor SPRM bagi penambahbaikan Institut Kebajikan DBD, Kuching

Lima syor SPRM bagi penambahbaikan Institut Kebajikan DBD, Kuching

IJM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti tiga kelemahan dikenalpasti berkaitan amalan, sistem dan tatacara pengurusan wang saku serta bantuan penghuni Institusi Kebajikan Desa Bina Diri (DBD) Kuching, Sarawak.

Selain itu, lima syor penambahbaikan turut dibentangkan oleh SPRM.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pembentangan Laporan Penambahbaikan Tatakelola kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu telah disampaikan oleh Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh kepada Ketua Pengarah JKM Malaysia, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Ibu Pejabat JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya.

Kata kenyataan itu, JKM bersetuju akan melaksanakan syor penambahbaikan membabitkan tempoh 12 bulan bagi memperkasakan tatakelola terhadap Garis Panduan Pengurusan Kewangan JKM, Bahagian C: Wang Saku Penghuni Institusi.

“Pembentangan ini adalah berdasarkan aduan diterima SPRM mengenai ketidakpatuhan pengurusan wang saku dan bantuan penghuni Institusi Kebajikan DBD oleh pegawai kes yang telah menggunakan wang berkenaan untuk kegunaan peribadi serta tidak membuat laporan yang jujur kepada pihak pengurusan,”katanya di sini.

Tambah kenyataan itu, lima syor penambahbaikan yang dipersetujui adalah mewujudkan tatacara penyerahan dan pemulangan kad bank penghuni; mewujudkan punca kuasa kepada pegawai kes untuk mengeluarkan wang dan pemegangan kad bank penghuni.

“Selain itu, mewujudkan akujanji ke atas pegawai kes dalam pengendalian kad bank penghuni dan memasukkan pengesahan tandatangan Ketua Institusi dalam borang lejar wang saku penghuni institusi.

“Turut mengenakan tindakan tatatertib terhadap Ketua Institusi atau mana pegawai-pegawai yang gagal melapor serta mematuhi garis panduan ini,” jelasnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Rosmahwati Ishak; Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Ismail Arul Raj Amirudin; Pengarah Bahagian Pengurusan JKM, Hanani Sidek.

Hadir sama, Ketua Unit Integriti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Shahrulnaim Mohd Amin; Timbalan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar; Penguasa Institusi Kebajikan DBD Kuching dan wakil JKM Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN