Boikot berterusan beri tekanan kepada Israel

Boikot berterusan beri tekanan kepada Israel

TEKANAN kos sara hidup jadi perhatian berbanding boikot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen boi­kot terhadap produk yang dikaitkan dengan Israel tidak seharusnya bermusim kerana tekanan ekonomi secara konsisten memberi impak lebih berkesan terhadap rejim Zionis.

Setiausaha Gerakan Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) Malaysia, Farwina Faroque berkata, kemerosotan momentum kempen boikot ketika ini berpunca daripada salah faham masyarakat terhadap situasi di Palestin dan perubahan tumpuan rakyat kepada isu ekonomi domestik.

Katanya, ia merupakan taktik Israel mengaburi mata dunia seolah-olah keadaan di Palestin semakin pulih.

“Syarikat tersenarai dalam boikot turut mengambil ke­sempatan dengan memperhebatkan promosi dan menggunakan selebriti tempatan untuk menarik semula pelanggan.

“Masyarakat kini lebih terkesan dengan tekanan kos sara hidup sehingga perhatian terhadap perkembangan di Palestin semakin berkura­ngan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Farwina berkata, keada­an itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia terlepas pandang perkembangan di rantau tersebut, termasuk konflik yang masih berlaku di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan.

“Fitrah manusia fokus kepada perkara yang memberi kesan secara langsung dan ke­langsungan hidup mereka.

“Bila genosid disiarkan secara meluas di Gaza, rakyat secara automatik terpanggil untuk berbuat sesuatu, lantas menjadikan kempen boikot makin rancak.

“Namun, apabila mereka melihat dan percaya bahawa genosid itu ‘berhenti’ atau ‘berkurang’, sedangkan reali­tinya pembunuhan dan sera­ngan dari rejim Zionis tidak pernah berhenti, tumpuan mereka akan segera beralih kepada isu-isu peribadi atau ekonomi yang lebih menjejaskan hidup mereka.

“Situasi ini memberi cabaran kepada kelangsungan tekanan ekonomi, namun ia tidak menghapuskan sepenuhnya keberkesanan boikot.

“Ia sekadar menandakan bahawa kita perlukan usaha advokasi yang berte­rusan untuk mengingatkan masyarakat agar tidak mudah leka,” katanya.

Konsep boikot bersasar bertujuan memilih segelintir syarikat secara strategik untuk diberikan tekanan kolektif yang maksimum sehingga kita memenangi sesuatu kempen.

“Ikuti senarai sasaran rasmi yang dikeluarkan BDS, kerana ia lebih berkesan dengan fokus kepada syarikat yang dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin berkata, matlamat boikot bukan memufliskan syarikat, sebalik­nya memberi tekanan supaya syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel menamatkan kerjasama tersebut.

“Beberapa gerakan boikot di peringkat antarabangsa turut menunjukkan perkembangan positif apabila institusi dan negara tertentu mengambil langkah menarik pelaburan atau mengehadkan urusan dengan syarikat yang dikaitkan dengan Israel.

“Rakyat Malaysia perlu melihat kempen boikot sebagai tanggungjawab kemanusiaan yang perlu dilaksanakan secara berterusan, bukannya hanya ketika konflik di Palestin mendapat perhatian meluas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN