Eropah sediakan RM4 bilion bantu pemulihan Gaza - Utusan Malaysia

Eropah sediakan RM4 bilion bantu pemulihan Gaza

USAHA pemulihan semula Gaza memerlukan perbelanjaan yang besar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin memaklumkan bahawa negara-negara penderma Eropah telah menyediakan kira-kira €900 juta (RM4 bilion) bagi membantu usaha pemulihan awal di Gaza yang musnah akibat perang Israel.

Pesuruhjaya EU bagi Mediterranean, Dubravka Suica mengumumkan jumlah keseluruhan hampir €900 juta atau AS$1 bilion itu pada permulaan persidangan penderma di Brussels.

“Kini kita memerlukan keadaan di lapangan yang membolehkan bantuan ini sampai kepada penduduk Gaza,” kata Suica.

Dana tersebut, yang menurut pegawai turut merangkumi sumbangan seperti te­lah diumumkan sebelum ini untuk Gaza, akan digunakan bagi membersihkan runtuhan akibat operasi ketenteraan Israel selain membina semula perkhidmatan asas.

“Kerajaan Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden dan Switzerland, bersama Suruhanjaya Eropah serta Bank Pelaburan Eropah, mengambil bahagian dalam usaha ini,” menurut ke­nyataan Brussels.

Menurut EU, Suica, dalam lawatan terbaharunya ke Israel, telah mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa Israel mengenai langkah-langkah seterusnya bagi pelaksanaan dua projek utama dalam bidang pe­ngurusan sisa dan pengurusan air di Gaza.

Pesuruhjaya itu berkata, negara-negara penderma mahu memulakan apa yang dikenali sebagai pemulihan awal.

 “Namun, untuk berbuat demikian, Hamas perlu melucutkan senjata supaya proses pemulihan sebenar dapat dimulakan,” katanya.

Keperluan kemanusiaan di Gaza masih berada pada tahap yang amat mendesak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan usaha pembinaan semula akan mengambil masa bertahun-tahun dan memerlukan dana mencecah puluhan bilion dolar, memandangkan bekalan bahan binaan serta peralatan untuk membersihkan runtuhan masih amat terhad.

Wakil daripada Lembaga Ke­amanan yang ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membantu membuat persiapan untuk Gaza pascaperang  turut menghadiri mesyuarat di Brussels. 

Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa. Bekiau  menilai pelaksanaan pembaharuan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai syarat bagi pe­nyaluran bantuan selanjutnya.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas dicapai di Gaza pada Oktober lalu selepas dua tahun berperang yang tercetus susulan serangan luar biasa pejuang Palestin ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN