KUANTAN: Kekurangan petugas kesihatan di Pahang dikesan ketara terutama di hospital pakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh; Hospital Kuala Lipis, Hospital Pekan dan Hospital Bentong.
Masalah itu semakin meruncing, ibarat tiada penyelesaian sehingga menyebabkan isu seperti lesu upaya (burnout), kemurungan serta keresahan (anxiety).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, isu kekurangan petugas kesihatan begitu ketara membabitkan pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan yang merupakan tonggak utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Katanya, jumlah keseluruhan pegawai perubatan adalah 957 orang dengan pengisian perjawatan sebanyak 66 peratus sahaja.
“Namun, jumlah ini ditampung oleh pegawai perubatan kontrak yang mana jumlahnya sentiasa berubah. Keperluan sebenar pegawai perubatan di Pahang adalah 1,472 yang mana masih mengalami kekurangan perjawatan sebanyak 35 peratus. Ini menyebabkan isu masa menunggu yang lama terutama di Jabatan Kecemasan dan klinik pakar semakin meningkat dan sentiasa diperkatakan.
“Bagi perkhidmatan wad pesakit dalam, nisbah jururawat kepada pesakit adalah 1:10 hingga 1:12 yang mana nisbah yang ideal adalah 1:6 atau maksimum 1:8. Peningkatan jumlah pesakit dalam wad adalah satu faktor penyumbang yang sangat tinggi yang mana kadar pengisian katil (BOR) adalah 65 hingga 85 peratus, sangat tinggi di Hospital Kuala Lipis, Hospital Pekan dan HTAA.
“Jumlah perjawatan sedia ada bagi jururawat adalah 3,340 dengan pengisian sebanyak 98 peratus. Keperluan sebenar diperlukan adalah 5,464 perjawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Razali berkata, bagi kakitangan yang bertugas secara syif terutama di Jabatan Kecemasan, kekurangan jawatan penolong pegawai perubatan menyebabkan petugas terpaksa diarahkan bekerja dua syif pada hari sama.
Katanya, bagi penolong pegawai perubatan, jumlah perjawatan sedia ada hanya 596 dengan pengisian sebanyak 96 peratus yang mana sangat sedikit berbanding keperluan sebenar mengikut norma dan tempat bertugas. – UTUSAN










