Tentera Israel didesak AS berundur dari selatan Lubnan - Utusan Malaysia

Tentera Israel didesak AS berundur dari selatan Lubnan

PULUHAN kereta kebal tentera Israel ditempatkan di sepanjang sempadan Israel-Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Israel sedang membuat persiapan untuk berundur dari beberapa kawasan di selatan Lubnan dalam tempoh beberapa hari di bawah perjanjian rangka kerja, menjelang pusingan baharu rundingan antara Beirut dan Tel Aviv di Rom.

Penyiar awam Israel, KAN melaporkan pada Jumaat, tentera Israel berhasrat berundur dari beberapa kawasan perintis di selatan Lubnan serentak dengan sesi rundingan antara pihak Lubnan dan Israel di Rom.

Beirut dan Tel Aviv menandatangani perjanjian rangka kerja yang ditaja Amerika Syarikat (AS) pada 26 Jun lalu, yang memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari semua wilayah Lubnan yang diduduki, bermula dengan dua kawasan awal yang tidak dinyatakan dalam perjanjian itu.

Menurut KAN, pengunduran yang dirancang itu dibuat susulan desakan AS dan Lubnan supaya Israel mengosongkan kawasan berkenaan sebelum pusingan rundingan seterusnya tetapi tidak menyatakan lokasi terbabit.

Pusingan keenam rundingan antara Lubnan dan Israel di bawah tajaan AS dijadual berlangsung di Rom pada Selasa dan Rabu depan.

Dalam laporan berasingan, KAN berkata, kerajaan Israel mengarahkan tenteranya membekukan semua operasi yang diklasifikasikan sebagai sensitif di selatan Lubnan atas permintaan Washington.

Perjanjian rangka kerja itu tidak menetapkan garis masa khusus bagi pengunduran itu. Pelaksanaannya bergantung kepada tentera Lubnan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab keselamatan di kawasan yang dikosongkan Israel dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata, khususnya Hizbullah, yang menolak syarat tersebut.

Israel kini masih menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan dan mengekalkan apa yang disifatkannya sebagai ‘zon keselamatan’, iaitu kawasan penampan yang memanjang beberapa kilometer ke dalam wilayah Lubnan di sepanjang sempadan.

Zon itu diwujudkan ketika perang terbaharu Israel dengan Hizbullah pada 2024–2025.

Israel kemudian memperluaskan lagi kehadiran tenteranya di kawasan itu selepas meningkatkan operasi ketenteraan bermula 2 Mac, yang menurut Lubnan merupakan pencabulan kedaulatan negara itu serta pendudukan terhadap sebahagian wilayah selatannya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN