KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) memperkukuh pembangunan tenaga mampan menerusi usaha mengurangkan kebergantungan terhadap diesel bagi menjamin bekalan elektrik lebih stabil, cekap, mesra alam dan berdaya tahan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerajaan negeri komited memperluaskan penggunaan tenaga bersih melalui kerjasama strategik melibatkan kerajaan, industri dan penyedia teknologi bagi memperkukuh sektor tenaga negeri.
“Tenaga elektrik adalah keperluan asas yang menggerakkan kehidupan harian termasuk kediaman, sektor perindustrian, hospital, sekolah serta pelbagai kegiatan ekonomi.
“Inisiatif seperti program Powering Sabah Beyond Diesel mencerminkan pendekatan strategik yang diperlukan membina masa depan sektor tenaga negeri lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
“Selama ini, bahan api fosil seperti diesel dan petrol menjadi sumber tenaga utama di Sabah,” katanya pada program Powering Sabah Beyond Diesel di sini hari ini.
Joachim berkata, selama ini diesel dan petrol menjadi sumber tenaga utama di Sabah, namun kebergantungan terhadap bahan api fosil membawa kesan alam sekitar serta risiko gangguan bekalan akibat geopolitik global.
Katanya, Sabah mempunyai potensi besar memanfaatkan tenaga solar kerana kaya dengan sumber semula jadi yang boleh digabungkan bersama sistem penyimpanan tenaga bateri bagi meningkatkan kecekapan bekalan elektrik negeri.
Teknologi berkenaan mampu menyediakan bekalan elektrik lebih bersih, stabil dan berpatutan selain memperluaskan akses tenaga kepada masyarakat luar bandar, sekali gus merancakkan komunikasi serta pembangunan ekonomi setempat.
Joachim berkata, sektor perniagaan dan industri turut memperoleh manfaat menerusi pengurangan kos operasi, peningkatan daya saing serta pengurangan pelepasan karbon yang menyokong agenda kelestarian alam sekitar negeri Sabah.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan peralihan kepada tenaga bersih tidak mampu digalas kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif syarikat swasta, pelabur dan rakan teknologi dalam merealisasikan agenda tersebut.
“Pelaburan BSL Eco Energy bersama teknologi Huawei mampu mempercepat pelaksanaan dasar tenaga negeri, manakala kerajaan mengalu-alukan lebih banyak inovasi bagi memperluaskan bekalan elektrik dan mengurangkan kos tenaga rakyat,” katanya. – UTUSAN







