KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah meluahkan rasa syukur, lega dan bahagia selepas keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan tunangnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berpihak kepada ahli politik itu.
Menurut Bella, dia sejak awal mempercayai Syed Saddiq tidak bersalah selain menyifatkan tunangnya sebagai seorang yang mempunyai keperibadian baik.
“Mestilah Bella sangat-sangat bahagia dan paling penting adalah rasa lega, tenang dan bahagia sebab Bella tahu Saddiq seorang yang sangat-sangat baik.
“Bella tahu Saddiq tak bersalah. Terima kasih,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Bella berkata, antara perkara yang membuatkannya tertarik terhadap Syed Saddiq ialah keperibadian serta layanan baik Ahli Parlimen Muar itu terhadap ibu bapa dan ahli keluarganya.
Katanya, sikap seseorang terhadap keluarga khususnya golongan lebih tua merupakan antara perkara penting yang dinilainya dalam mengenali seseorang.
“Sebab Bella nampak macam mana peribadi dia. Yang paling utama Bella nampak macam mana layanan dia terhadap orang tua dan keluarga, itu paling penting.
“Dan Bella tengok dia seorang yang sangat jujur, baik dan amanah sepanjang perkenalan saya dengan dia.
“Selebihnya, insya-Allah nanti kita akan lebih lagi kongsikan bila dah sampai masa. Terima kasih,” ujarnya.










