Lelaki warga asing mengamuk bersenjatakan pisau ditahan

Lelaki warga asing mengamuk bersenjatakan pisau ditahan

LELAKI warga asing (kiri) ditahan pihak berkuasa kerana disyaki mengamuk menggunakan pisau. - IHSAM/IPD TAWAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Polis telah menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki mengamuk sambil membawa sebilah pisau di kawasan Kampung Batu 4, Jalan Apas, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengenai kejadian itu pada pukul 12.55 tengah malam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek berjaya ditahan di luar sebuah rumah tidak lama kemudian dan pihak polis turut merampas sebilah pisau panjang berukuran kira-kira 24.5 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati suspek, yang berusia dalam lingkungan 30-an, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, lelaki tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek telah dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelas Jasmin.

Beliau turut menggesa orang awam agar sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terlihat sebarang perlakuan mencurigakan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman komuniti sentiasa terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN