Lelaki kerja kampung dipenjara seumur hidup, edar dadah lebih 3kg - Utusan Malaysia

Lelaki kerja kampung dipenjara seumur hidup, edar dadah lebih 3kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja kampung dihukum penjara seumur hidup serta 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah seberat lebih tiga kilogram (kg), tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd. Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam pendakwaan terhadap Norazan Che Derahman, 46, di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Suriyati Hasimah memberitahu, pembelaan telah gagal menyangkal keterangan bahawa tertuduh mempunyai milikan, jagaan dan kawalan ke atas dadah seperti mana dalam pertuduhan.

“Mahkamah mempertimbangkan segala keterangan dikemukakan sepanjang kes pembelaan dan telah menghalusi hujahan bertulis dan lisan oleh kedua-dua pihak.

“Mahkamah kemudian mendapati pembelaan yang telah dibangkitkan adalah bersifat penafian semata-mata atau ‘bare denial’ dan ‘afterthoughts’ (alasan kemudian).

“Sehubungan itu, mahkamah mendapati kes di luar keraguan munasabah telah berjaya dibuktikan terhadap tertuduh dan mendapati tertuduh bersalah mengedar dadah berbahaya seperti mana pertuduhan terhadapnya,” katanya dalam prosiding berkenaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 September 2022 beserta 12 kali sebatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,259.5 gram di sebuah rumah dekat Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, pada pukul 1.15 petang, 4 September 2022.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 12 kali.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mengemukakan enam saksi pendakwaan, manakala peguam Zurina Sidek mewakili tertuduh mengemukakan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN