Lapor kes buang bayi, rupanya bapa hamilkan anak

Lapor kes buang bayi, rupanya bapa hamilkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA : Tiga individu termasuk seorang remaja perempuan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes membuang bayi perempuan di sebuah stesen minyak di Batu 14, Hulu Langat pada Isnin lalu.

Satu laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada pukul 1.56 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pengadu mendakwa menemukan seorang bayi perempuan berusia kurang seminggu dalam sebuah kotak berhampiran bangunan kedai di stesen minyak kawasan itu.

“Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan masih bernyawa dan sihat, sebelum dihantar ke hospital untuk pemantauan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Naazron berkata, hasil siasatan pihak polis telah menahan tiga individu berusia 16 hingga 39 tahun pada pukul 5.35 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan mendapati laporan itu adalah rekaan, apabila pengadu didapati bersubahat dengan seorang rakan lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang.

“Lelaki itu disyaki melakukan sumbang mahram dengan anak kandungnya berusia 16 tahun sehingga remaja itu melahirkan anak.

“Mereka kemudian dipercayai membuang dan menyembunyikan kelahiran bayi tersebut,” jelasnya.

Katanya, dua lelaki tempatan yang ditahan masing-masing mempunyai rekod lampau membabitkan dua kes dadah dan dua kes jenayah.

“Kedua-duanya direman sehari dan enam hari, manakala remaja perempuan itu diberi jamin polis dan kini dirawat di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(3) akta sama,” katanya.

Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN